MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin sedang melakukan segala usaha untuk membantu meredakan ketegangan di Asia Barat, kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov pada Selasa, menurut Sputnik/RIA Novosti.
Pada Sabtu, Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran, termasuk di Tehran, menyebabkan kerosakan dan kematian orang awam. Iran membalas dengan melancarkan serangan terhadap wilayah Israel serta pangkalan tentera AS di seluruh Asia Barat.
Advertisement
"Putin sedang melakukan segala usaha untuk sekurang-kurangnya mengurangkan ketegangan di Asia Barat," kata Peskov kepada pemberita.
Dalam hampir semua perbualan Putin dengan pemimpin negara di Asia Barat, beliau telah menyatakan bahawa Presiden Rusia akan menyampaikan kepada Iran kebimbangan mereka mengenai serangan terhadap infrastruktur, kata Peskov.
Dalam pada itu, Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov berkata Rusia terbuka untuk dialog dengan Amerika Syarikat dan Israel mengenai situasi di Asia Barat dan pihak Rusia tidak pernah menghentikan dialog itu.
"Dalam semua keadaan, kami terbuka kepada dialog dengan mereka (AS) dan dengan Israel; kami tidak pernah menghentikan dialog ini," kata Lavrov kepada pemberita selepas perbincangan dengan Menteri Luar Negeri II Brunei Darussalam Erywan Yusof.
Tidak jelas apa yang diusahakan oleh AS di Iran, kata menteri itu.
Beliau percaya tindakan AS tidak akan terhad kepada Venezuela, Cuba dan Iran sahaja.
"(Setiausaha Negara AS, Marco) Rubio, dalam jawapannya kepada soalan wartawan, baru-baru ini menyatakan yang Amerika Syarikat akan mentadbir Iran dengan cara yang sama seperti yang diumumkan mereka untuk mentadbir Venezuela. Kini skim yang serupa sedang dicuba untuk Cuba. Dan, mungkin, ini belum berakhir."
Dialog antara Rusia dan Amerika Syarikat pada pelbagai peringkat dan dalam format yang berbeza terus berjalan, kata Lavrov, sambil berkata terdapat keperluan untuk dialog dwipihak yang komprehensif mengenai bagaimana mereka melihat dunia dan peranan yang diberikan kepada setiap pihak dalamnya.
Rusia akan cuba menggunakan hubungannya dengan Iran untuk mencegah serangan ke atas negara-negara Teluk, katanya.
"Kami akan berusaha menggunakan keupayaan kami dalam hubungan, termasuk dengan Republik Islam Iran, untuk memastikan yang masalah ini tidak terus meningkat dan dapat diselesaikan sepenuhnya."
Beliau menyifatkan bahawa adalah tidak realistik untuk mendesak Iran, satu-satunya negara sedunia, supaya menyerahkan haknya untuk memperkayakan uranium.
Beliau turut memberi amaran yang perang yang kini tercetus terhadap Iran mungkin akan mendorong pergerakan ke arah penciptaan senjata nuklear bukan hanya di Tehran, tetapi juga oleh negara jiran Arab.
"Perang yang kini tercetus terhadap Iran, pertama sekali, ia boleh merangsang pergerakan ke arah pembangunan senjata nuklear dan bukan sahaja di Iran. Pergerakan sedemikian akan segera muncul di negara, iaitu negara Arab yang berjiran dengan Republik Islam Iran."
Terdapat risiko yang semakin meningkat berhubung pengawalan nuklear akan mula menjadi di luar kawalan, kata menteri itu, sambil menegaskan yang Rusia akan terus berjuang untuk kepatuhan kepada prinsip ketakleluasaan senjata nuklear.
- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI