BRUSSELS: Lebih 1,000 pemuzik dan penggiat budaya menandatangani surat terbuka pada Selasa bagi menggesa pemboikotan terhadap Pertandingan Lagu Eurovision susulan penyertaan Israel, menurut inisiatif di sebalik rayuan itu.
Anadolu Ajansi melaporkan bahawa surat yang dianjurkan oleh kumpulan "No Music for Genocide" itu menggesa para artis, penyiar, kru dan peminat untuk menarik balik sokongan terhadap pertandingan berkenaan sehingga Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU) menyingkirkan penyiar awam Israel, KAN.
Advertisement
Inisiatif itu sebelum ini berjaya meyakinkan beberapa artis untuk menyekat muzik mereka daripada perkhidmatan penstriman di Israel.
Antara individu yang menandatangani surat itu termasuk artis antarabangsa terkemuka seperti Brian Eno, Massive Attack, Kneecap dan Roger Waters, selain bekas pemenang Eurovision seperti Emmelie de Forest dan Charlie McGettigan.
Surat itu menyatakan bahawa tindakan membenarkan Israel bertanding ketika Rusia masih digantung susulan peperangan di Ukraine pada 2022 mendedahkan apa yang disifatkan oleh penandatangan sebagai hipokrasi dalam dasar EBU.
"Maklum balas hipokrit EBU terhadap jenayah Rusia dan Israel telah melenyapkan sebarang ilusi mengenai dakwaan keneutralan Eurovision. Pada 2022, EBU menyatakan bahawa kehadiran Rusia akan 'mencemarkan reputasi pertandingan'," menurut surat itu.
"Namun, genosid selama lebih 30 bulan di Gaza - bersama pembersihan etnik dan kecurian tanah di Tebing Barat yang dikepung -- tidak dianggap mencukupi untuk mengenakan dasar yang sama terhadap Israel," katanya.
Kumpulan artis itu turut menuduh EBU menggugat nilai berkecuali yang didakwanya dan menyeru tokoh industri untuk mengambil pendirian dengan menyatakan "mendiamkan diri secara pasif bukanlah satu pilihan."
Kenyataan itu turut memuji pihak penyiar dan peserta yang dilaporkan telah menarik diri daripada saringan peringkat kebangsaan atau menolak penyertaan sebagai tanda protes, memetik organisasi di Sepanyol, Ireland, Iceland, Slovenia dan Belanda.
Pertandingan Lagu Eurovision dijadualkan berlangsung di Austria antara 12 hingga 16 Mei ini.
-- BERNAMA-ANADOLU