DUNIA
Rahsia lelaki berpoligami terbongkar selepas isteri kedua bersalin di hospital tempat isteri pertama bekerja

Seorang lelaki warganegara India dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah kerana berpoligami secara haram apabila berkahwin dengan rakan sekerjanya, sedangkan dia masih mempunyai isteri yang sah. - Gambar hiasan
SINGAPURA: Seorang lelaki warganegara India dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah kerana berpoligami secara haram apabila berkahwin dengan rakan sekerjanya, sedangkan dia masih mempunyai isteri yang sah.
Rahsia perkahwinan keduanya terbongkar apabila lelaki itu melawat isteri keduanya yang baru melahirkan anak di KK Women’s and Children’s Hospital – hospital tempat isterinya yang pertama bekerja, lapor portal CNA.
Vaithialingam Muthukumar, 49, pada Khamis (21 Ogos) dijatuhi hukuman penjara tiga bulan tiga minggu selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan termasuk bersubahat melakukan bigami (berkahwin lebih daripada satu dalam undang-undang sivil) dan membuat pengisytiharan palsu dalam permohonan penduduk tetap bahawa dia tidak mempunyai perkahwinan lain.
Mahkamah dimaklumkan, Vaithialingam berkahwin dengan isteri pertamanya, seorang warga Singapura berusia 55 tahun, pada 2007 di India.Empat tahun kemudian, dia berhijrah ke Singapura untuk tinggal bersama isterinya dan mula bekerja di sini, sebelum berkenalan dengan rakan sekerja, Salmah Bee Abdul Razak yang kini berusia 43 tahun.
Hubungan mereka berlanjutan sehingga kedua-duanya saling jatuh cinta meskipun Salmah menyedari Vaithialingam sudah beristeri.
Pada Ogos 2022, pasangan itu bernikah mengikut syariat Islam di Nagore, India, namun, perkahwinan tersebut tidak pernah dibubarkan.
Selepas kembali ke Singapura, Vaithialingam masih tinggal bersama isteri pertama, namun tetap bertemu Salmah secara rahsia.
Pada 14 September 2023, Salmah melahirkan seorang anak lelaki, hasil hubungan mereka.
Ketika melawat Salmah di hospital, Vaithialingam terserempak dengan isteri pertamanya yang bekerja di situ.
Curiga melihat suaminya keluar dari bilik bersalin yang bukan untuk pelawat, wanita itu kemudian mendesaknya sehingga dia mengaku mengenai perkahwinan kedua serta kelahiran anaknya.
Kes itu kemudian dilaporkan kepada pihak berkuasa selepas Salmah sendiri membuat aduan kepada Kementerian Tenaga Manusia pada Julai 2024 bahawa Vaithialingam telah mengahwininya sedangkan suaminya itu masih mempunyai isteri sah.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, tindakan Vaithialingam menipu kedua-dua isterinya adalah serius – isteri pertama hanya mengetahui kebenaran secara kebetulan, manakala isteri kedua pula diperdaya dengan janji palsu kononnya dia akan menceraikan isteri pertama.
Bagi kesalahan bigami, undang-undang Singapura memperuntukkan hukuman penjara mandatori sehingga tujuh tahun dan denda maksimum S$10,000 (kira-kira RM32,000). - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami