Raja Charles fokus pada tugas dan khidmat di sebalik isu Putera Andrew

Raja Charles (kanan) berbual dengan dan adindanya, Putera Andrew sebaik meninggalkan Westminster Cathedral selepas menghadiri majlis pemakaman seorang kerabat diraja Britain di London pada 16 September lalu. - Gambar Reuters
LONDON: Raja Charles menegaskan tumpuan baginda kini hanya kepada “tugas dan khidmat”, dengan harapan rakyat tidak teralih perhatian kepada isu lain - kenyataan yang difahami merujuk kepada kontroversi baharu melibatkan adindanya, Putera Andrew.
Jurucakap Istana Buckingham berkata, kenyataan itu dikeluarkan selepas Raja Charles bertemu mangsa yang terjejas dalam insiden serangan di sebuah sinagog di Manchester.
Menurutnya, “baginda meneruskan komitmen terhadap tugas dan khidmat awam dalam usaha berterusan menyatukan komuniti, khususnya ketika berdepan waktu mencabar. Baginda berharap tumpuan akan kekal pada masyarakat yang terkesan, bukan pada hal-hal lain.”
Kenyataan itu dikeluarkan ketika Putera Andrew sekali lagi menjadi tumpuan selepas muncul dakwaan baharu berkaitan Virginia Giuffre, wanita yang menuduhnya terbabit dalam skandal seks Jeffrey Epstein.Memoir Giuffre yang diterbitkan secara anumerta minggu ini, dijangka menambah tekanan terhadap keluarga diraja.
Minggu lalu, Putera Andrew mengumumkan beliau akan menyerahkan semua gelaran dirajanya, termasuk Duke of York, namun gesaan supaya gelaran itu dilucutkan secara rasmi terus kedengaran.
Ahli Parlimen York, Rachael Maskell berkata, ramai penduduk di kawasannya tidak mahu lagi kota itu dikaitkan dengan Putera Andrew, malah menggesa kerajaan meminda undang-undang bagi membolehkan Raja menarik balik gelaran diraja secara langsung.
“Ini peluang untuk memperbetulkan kesilapan sejarah dan memastikan suara mangsa didengar serta dihormati,” katanya kepada BBC.
Sementara itu, sumber Istana memaklumkan, mereka menjangkakan “beberapa hari yang sukar” susulan pendedahan terbaharu itu dan menganggap tuduhan berkaitan hubungan Putera Andrew dengan Epstein sebagai perkara yang “amat membimbangkan” serta perlu disiasat sepenuhnya.
Siasatan polis dan dokumen baharu dari AS
Media Britain turut melaporkan bahawa Polis Metropolitan London sedang meneliti dakwaan kononnya Putera Andrew meminta maklumat peribadi mengenai Giuffre daripada pegawai pengawal peribadinya — sesuatu yang dinafikan oleh baginda.
Dokumen dari siasatan di Amerika Syarikat (AS) yang didedahkan hujung minggu lalu menunjukkan Epstein mendakwa telah menyalurkan bantuan kewangan kepada bekas isteri Putera Andrew, Sarah Ferguson, selama 15 tahun — dakwaan yang dinafikan sumber rapat dengannya.
Laporan turut mendakwa pada 2011, Putera Andrew sudah pun memiliki maklumat peribadi Giuffre, termasuk nombor keselamatan sosialnya, bertentangan dengan kenyataannya dalam wawancara BBC Newsnight bahawa beliau “tidak pernah mengingati” wanita berkenaan.
Gelaran diraja dan kedudukan dalam susur galur takhta
Walaupun menyerahkan gelaran Duke of York, Earl of Inverness dan Baron Killyleagh serta keanggotaan dalam Order of the Garter, Putera Andrew masih memegang gelaran “Prince” sebagai anak lelaki raja.
Namun menurut pakar Perlembagaan, Craig Prescott, gelaran itu juga secara teorinya boleh dilucutkan melalui dokumen rasmi monarki dikenali sebagai Letters Patent.
Beliau kini berada di tangga kelapan dalam barisan pewarisan takhta, dan kedudukan itu hanya boleh digugurkan dengan kelulusan semua negara Komanwel yang mengiktiraf Raja Charles sebagai Ketua Negara.
Sumber istana menyifatkan keputusan Putera Andrew menyerahkan gelaran sebagai langkah sukarela bagi mengelak penggunaan masa Parlimen untuk proses rasmi pelucutan.
Namun, tekanan terus meningkat apabila beberapa pihak termasuk pemimpin Parti SNP di Westminster, Stephen Flynn turut mendesak supaya diwujudkan mekanisme lebih jelas bagi menarik balik gelaran diraja jika wujud isu moral atau reputasi.
Fokus istana kekal pada tanggungjawab diraja
Sumber istana menegaskan, skandal membabitkan Andrew tidak seharusnya menenggelamkan agenda utama institusi diraja, termasuk usaha Permaisuri Camilla dan Duchess of Edinburgh memerangi keganasan terhadap wanita.
Istana Buckingham juga dilaporkan mahu memastikan isu itu tidak mencemari lawatan bersejarah Raja Charles ke Vatican minggu ini, di mana baginda dijadual bertemu Pope Leo. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami