Raja Maghribi seru reformasi sosial dan keadilan wilayah di sebalik protes belia

Kerajaan Maghribi digesa percepat reformasi sosial & ekonomi susulan protes besar belia yang terus mencabar kepimpinan negara itu. -Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Kerajaan Maghribi digesa mempercepat pelaksanaan pembaharuan sosial dan ekonomi ketika demonstrasi besar-besaran diketuai golongan belia terus mencabar kepimpinan negara itu.
Ringkasan AI
- Raja Mohammed VI menyeru pelaksanaan segera pembaharuan sosial dan ekonomi sebagai dasar strategik untuk mencapai keadilan sosial dan pembangunan seimbang di Maghribi.
- Titah baginda hadir susulan demonstrasi besar-besaran oleh gerakan belia Gen Z 212 yang menuntut pembubaran kerajaan korup dan pembaikan sistem kesihatan, selepas insiden kematian lapan wanita hamil di Agadir.
- Kerajaan Maghribi menyatakan mesej belia telah diterima dan kini mempercepat pelaksanaan projek pembangunan, khususnya dalam sektor kesihatan.
Baginda turut mengingatkan bahawa langkah mempercepat kemajuan Maghribi serta melancarkan program pembangunan tempatan generasi baharu merupakan agenda besar yang melangkaui tempoh pentadbiran kerajaan mahupun Parlimen.
Program tersebut, yang diarahkan agar disediakan sejak Julai lalu, perlu dilaksanakan dengan lebih pantas serta memberi kesan nyata kepada rakyat terutama di kawasan luar bandar, pergunungan dan oasis yang selama ini ketinggalan dari segi pembangunan.
“Usaha Maghribi untuk mencapai keadilan sosial dan kesaksamaan antara wilayah hari ini memerlukan penyatuan tenaga seluruh bangsa,” titah baginda lagi.
Titah itu disampaikan selepas baginda berkenan disambut oleh Speaker Dewan Perwakilan, Rachid Talbi Alami; Speaker Dewan Kaunselor, Mohamed Ould Errachid; serta Wali wilayah Rabat-Salé-Kénitra, Mohammed Yacoubi, di bangunan Parlimen Rabat.
Raja Mohammed turut menegaskan bahawa tiada seharusnya berlaku percanggahan antara pelaksanaan projek nasional utama dan program sosial kerana matlamat akhirnya ialah memperbaiki taraf hidup rakyat di seluruh pelosok negara.
Ucapan itu hadir sehari selepas kumpulan Gen Z 212, gerakan belia tanpa kepimpinan rasmi, menganjurkan demonstrasi antirasuah di Tangiers, Casablanca dan ibu negara Rabat antara siri protes terbesar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Gerakan yang digerakkan melalui TikTok dan Discord itu kini memiliki lebih 200,000 pengikut, dengan sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan.
Tuntutan mereka termasuk pembubaran kerajaan dan parti politik korup, pembebasan tahanan politik serta penganjuran forum kebangsaan untuk membanteras rasuah, menyusul selepas insiden kematian lapan wanita hamil di sebuah hospital di Agadir yang mencetuskan kemarahan terhadap mutu perkhidmatan kesihatan awam.
Menjelang demonstrasi berkenaan, jurucakap kerajaan Mustapha Baitas berkata mesej golongan muda “telah diterima,” dan kerajaan kini mempercepat pelaksanaan projek, khususnya dalam sektor kesihatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami