Rakyat Malawi dijangka mengundi pada Selasa bagi memilih presiden, Dewan Negara dan anggota majlis kerajaan tempatan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin memuncak berkaitan isu rasuah dalam rejim semasa Presiden Peter Mutharika, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Firma perunding The Economist Intelligence Unit telah meramalkan penyandang presiden bakal meraih kemenangan sekali lagi dengan minoriti, bagaimanapun penganalisis menyifatkan pilihan raya kali ini adalah sengit.

Mutharika,79, dan Parti Progresif Demokratif (DPP) yang memerintah, ditentang dua menterinya -- Saulosi Chilima (naib presiden) dan Atupele Muluzi (menteri kesihatan) namun saingan utama beliau ialah bekas pastor gereja dan pemimpin pembangkang Parti Kongres Malawi (MCP), Lazarus Chakwera, 64.

Mutharika menewaskan penyandang jawatan presiden terdahulu yang juga pemimpin wanita kedua Afrika, Joyce Banda pada 2014.

Banda telah menngundurkan diri daripada pertandingan bagi merebut jawatan presiden sejak itu dan kini menyokong Chakwera.

"Kami yakin akan meraih kemenangan kerana kami percaya bahawa kami telah melaksanakan projek-projek pembangunan yang kami janjikan 2014.

"Rakyat Malawi mempunyai sebab mengapa mereka harus mengundi DPP untuk kembali memerintah," kata Nicholas Dausi, jurucakap parti pemerintah kepada Anadolu.

-- BERNAMA