PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia di Sudan menempuh detik cemas apabila diancam peluru sesat, sebelum mereka berjaya dibawa keluar dari negara bergolak itu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, pengalaman itu dikongsi rakyat Malaysia yang terperangkap di Sudan beberapa hari lalu.

"Rakyat Malaysia yang berlindung sementara di Kompleks Petronas Sudan turut diancam peluru sesat," katanya pada sidang akhbar di Wisma Putra, di sini, pada Khamis.

Zambry berkata, beliau dimaklumkan, pada hari raya Aidilfitri pertama, peluru sesat dikesan menembusi tingkap di kompleks itu.

“Bagaimanapun, rakyat Malaysia terselamat dan tiada kecederaan. Mereka akhirnya berjaya dibawa keluar dari kompleks itu menuju ke Rumah Malaysia Sudan ketika tempoh gencatan senjata selama tiga jam.

“Ia suatu keadaan yang amat berisiko di mana jarak perjalanan dari kompleks ke Rumah Malaysia mengambil masa selama empat jam,” katanya.

Zambry berkata, kompleks itu telah diambil alih secara paksa oleh pasukan separa tentera dan dijadikan pusat pemerhatian mereka.

“Kompleks itu menjadi sasaran tembakan berikutan lokasinya yang berhampiran dengan Kementerian Pertahanan negara berkenaan," katanya.

Beliau berkata, risiko dihadapi rakyat Malaysia di Sudan adalah terpaksa menempuh perjalanan selama 30 jam dari Khartoum ke Pelabuhan Sudan untuk ke Jeddah, Arab Saudi.

"Selain itu, mereka terpaksa menunggu berjam-jam di tepi jalan kerana menunggu bantuan tiba akibat tayar kenderaan yang dinaiki pecah," katanya.

Zambry berkata, konvoi yang membawa rakyat Malaysia terpaksa melalui lokasi pertempuran dan ada yang dalam kawasan perintah berkurung dikuatkuasakan.

“Malah, kereta duta besar kita turut ditahan dan dirampas manakala sebahagian barangan diambil,” katanya.

Sudan kini bergolak susulan pertempuran yang meletus antara Tentera Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) sejak 15 April lalu.