MALAYSIAN Humanitarian Aid And Relief (MAHAR) dengan kerjasama Alumni MYCorps Afrika (MYCorps Afrika), Islamic Help dan Muzdalifah Islamic Charitable Organization (rakan NGO di Tanzania) melaksanakan ibadah korban dan akikah di Tanga dan Zanzibar, Afrika bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.

Kedua-dua organisasi tersebut membawa dana untuk mengorbankan sebanyak 22 ekor lembu dan 100 ekor kambing untuk rakyat Tanzania di kedua-dua daerah terbabit. Dijangka hampir 11,000 penduduk di kedua-dua daerah tersebut akan mendapat manfaat dari program ini. Dana untuk program ini disumbangkan oleh muslimin dan muslimat Malaysia dan Singapura yang berminat untuk menjalankan ibadah korban serta akikah kali ini.

Program korrban dan akikah di Tanzania ini merupakan kesinambungan kepada program sama yang telah berjaya dijalankan pada tahun 2017 di daerah terpencil di Satkhira, Bangladesh. Tahun ini merupakan tahun kedua MAHAR membuka peluang kepada masyarakat muslim di Malaysia dan negara jiran untuk melakukan ibadah korrban dan akikah di daerah-daerah yang memerlukan bantuan anjuran MAHAR.

Foto Astro AWANI

Tanga merupakan daerah majoriti muslim di tengah-tengah komuniti majoriti bukan Islam di tanah besar Tanzania. Tanga terbahagi kepada lapan daerah dengan 90 peratus daripada 3.5 juta penduduknya adalah beragama Islam. Sebagaimana keseluruhan penduduk Tanzania yang hidup di bawah garis kemiskinan, masyarakat Muslim di Tanga juga merasai kedaifan yang dialami majoriti besar warganya.

Menurut Pengerusi MAHAR, Jismi Johari, Tanzania, khususnya di Tanga dipilih untuk pelaksanaan ibadah korrban dan akikah anjuran MAHAR tahun ini kerana ia merupakan antara negara termiskin di dunia. Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Focus Economics pada Mac 2018, Tanzania diletakkan di tangga ke sembilan paling miskin di dunia dengan pendapatan per kapita negaranya pada tahun 2016 sekadar AS$976 dan diunjurkan AS$1,112 pada tahun ini.

"Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan dari negara jiran di atas sambutan yang telah diberikan untuk menjayakan kempen Qurban pada tahun ini.

"Kami berjanji akan melaksanakan ibadah ini sebaik-baiknya dengan bantuan rakan NGO kami, Islamic Help dan Muzdalifah Islamic Charitable Organization di sini," ujar Jismi.

Manakala Zanzibar dipilih kerana majoriti penduduk Muslim di sana adalah miskin tegar, hanya berpendapatan RM4 sehari. Selain tidak mampu membayar bil elektrik, ketidakupayaan membeli makanan membawa kesan sampingan seperti penyakit gastrik dan malnutrisi kepada kanak-kanak di daerah tersebut.

"Kami datang dengan misi untuk membantu mereka. Bagi menjadikan misi kami satu realiti, kami telah membuat persiapan awal dengan memberi kesedaran tentang penduduk di Zanzibar, Afrika kepada rakyat Malaysia bahawa sikap dan akhlak rakyat Afrika tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh banyak media massa.

"Bagi menjayakan kesedaran umum, saya dan rakan sepasukan telah menghabiskan kayuhan amal sepanjang 2220km dari Kuching, Sarawak ke Tawau, Sabah pada bulan April dan Mei lalu bagi mencapai matlamat tersebut," ujar wakil MAHAR di Zanzibar Mohd Firdaus Al Musanna Ahmad yang juga ahli alumni MyCorps yg pernah ditempatkan di Zanzibar selama dua bulan.