Masalah kemiskinan di Amerika Syarikat (AS) sangat besar dan semakin memburuk di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, dan keadaan itu boleh dijangka memandangkan banyak bantuan kepada jutaan golongan berkenaan telah ditarik balik.

Penyiasat hak asasi manusia dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan demikian, sambil menambah golongan kaya negara itu pula semakin banyak menerima ganjaran.

Reuters melaporkan, pegawai PBB Philip Alston yang merekodkan hal kemiskinan teruk di AS, mendesak pihak berkuasa di negara itu agar segera membekalkan perlindungan sosial yang kukuh selain menangani masalah itu dengan lebih serius.

Sementara manfaat kebajikan dan akses kepada insurans kesihatan dipotong, pembaharuan cukai Trump pula membolehkan syarikat mega yang kaya memperoleh laba yang besar sekali gus meluaskan jurang ketidaksamarataan.

“Polisi yang dijalankan pada setahun yang lalu dilihat menghapuskan perlindungan asas daripada golongan termiskin.

“Dasar baharu juga menghukum mereka yang tidak bekerja, serta menjadikan akses mendapatkan rawatan asas suatu yang sukar didapatkan sedangkan ia sepatutnya diberikan seiring hak kerakyatan,” jelas Alston.

Hampir 41 juta orang di AS hidup dalam kemiskinan, dengan 18.5 juta daripadanya dalam kategori miskin teruk. Setiap tiga orang miskin, seorang daripadanya ialah kanak-kanak.

Alston merumuskan, AS mempunyai kadar kemiskinan belia paling tinggi dalam kalangan negara-negara industri.

“Jangka hayat rakyat AS lebih pendek dan lebih tidak sihat berbanding mereka yang tinggal di negara-negara kaya lain.

"AS juga mencatatkan masalah penyakit yang boleh dirawat yang semakin meningkat, selain bilangan banduan paling tinggi, serta mencatatkan rekod paras obesiti paling tinggi dalam kalangan negara-negara maju," ujar Alston.