DUNIA

Rakyat Somalia protes tindakan Israel iktiraf Somaliland

Bernama 29/12/2025 | 09:58 MYT
Penunjuk peraaan mengecam langkah Israel itu sambil menegaskan kedaulatan dan keutuhan wilayah Somalia. - Reuters
MOGADISHU: Ratusan orang berhimpun di ibu negara Somalia, Mogadishu pada Ahad bagi membantah keputusan Israel mengiktiraf Somaliland, sebuah wilayah di utara Somalia yang mengisytiharkan kemerdekaan pada 1991, lapor Anadolu Ajansi.

Penunjuk perasaan memulakan perhimpunan dengan menyanyikan lagu kebangsaan Somalia. Mereka mengecam langkah Israel itu sambil menegaskan kedaulatan dan keutuhan wilayah Somalia, serta melaungkan slogan seperti "Somalia tidak boleh dipisahkan" dan "Somaliland adalah Somalia".

Pasukan keselamatan dikerahkan dalam jumlah besar bagi mengekalkan ketenteraman.

Seorang pendakwa raya Mohamed Abor memberitahu Anadolu bahawa Somalia tidak pernah melepaskan wilayahnya dan tidak akan melakukannya sekarang.

Menegaskan bahawa tiada mana-mana bahagian wilayah Somalia boleh diserahkan kepada Israel atau mana-mana negara lain, beliau berkata: "Somalia adalah satu dan akan kekal satu," sambil menambah bahawa rakyat Somalia bersedia berkorban demi negara mereka.

Seorang lagi penunjuk perasaan, Abdi Ismail, berkata keputusan Israel itu tidak boleh diterima oleh rakyat Somalia.

Menyifatkan keputusan itu sebagai "satu serangan jelas terhadap kedaulatan Somalia", Abdi berkata Somaliland merupakan bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada negara itu.

"Tiada negara yang berhak mengiktirafnya secara unilateral," katanya.

Abdi turut menambah bahawa masyarakat antarabangsa tidak seharusnya berdiam diri terhadap keputusan berkenaan.

Israel menjadi negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pertama yang secara rasmi mengiktiraf Somaliland sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat pada Jumaat, sekali gus mencetuskan kecaman daripada Turkiye, sekutu rapat Somalia, serta beberapa negara lain di Afrika dan Timur Tengah.

Somaliland, yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada Somalia pada 1991, beroperasi sebagai sebuah entiti pentadbiran, politik dan keselamatan secara de facto, namun kerajaan pusat Somalia masih bergelut untuk mengukuhkan kawalannya ke atas wilayah itu, sementara kepimpinan Somaliland pula gagal memperoleh pengiktirafan antarabangsa terhadap kemerdekaannya.

-- BERNAMA
#pengiktirafan #Israel #Somaliland #protes #Somalia #kedaulatan