Ramaphosa seru tindakan bersama tangani isu global pada Sidang Kemuncak G20

Ramaphosa berucap pada majlis pembukaan Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg, Afrika Selatan, 22 Nov 2025. (Foto AP)
JOHANNESBURG: Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa menyeru kerjasama antarabangsa dalam menangani pelbagai cabaran global pada Sidang Kemuncak G20 yang dihadiri negara perindustrian utama dan ekonomi sedang pesat membangun, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Antara isu yang diketengahkan ialah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, pemanasan global, keselamatan tenaga serta konflik bersenjata, katanya dalam ucapan pembukaan pada mesyuarat dua hari itu di Johannesburg, Afrika Selatan.
Ramaphosa turut mengecam jurang antara negara kaya dan miskin sebagai satu daripada halangan terbesar kepada pertumbuhan mampan.
Beliau menyifatkan ketaksamaan kekayaan dan pembangunan di dalam dan antara negara sebagai sesuatu yang "tidak adil dan tidak mampan".
"Adalah penting untuk kita menghapuskan jurang status ekonomi, jantina, kaum dan geografi," katanya.
Sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak G20, Afrika Selatan menetapkan tema "solidariti, kesamaan dan kemampanan".
Antara isu yang diberi perhatian oleh Ramaphosa termasuk pengurangan beban hutang negara membangun dan pesat membangun, memastikan peralihan tenaga yang adil, penggunaan mineral nadir bumi secara adil dan bersih, perkongsian tanggungjawab secara saksama dalam perlindungan iklim serta keterjaminan makanan.
Bagaimanapun, usaha baharu Amerika Syarikat untuk menamatkan perang di Ukraine dijangka akan mengalih tumpuan daripada isu-isu berkenaan pada sidang kali ini.
G20 dianggotai 19 negara, Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika. Mesyuarat di Johannesburg ini merupakan Sidang Kemuncak G20 pertama diadakan di benua Afrika.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


