Rampasan kuasa Myanmar: Negara anggota ASEAN bincang kenyataan bersama - Kementerian Luar Brunei

Agensi
Februari 1, 2021 10:47 MYT
Setakat ini, kerajaan-kerajaan negara ASEAN telah mengeluarkan kenyataan berasingan berkenaan situasi di Myanmar. - Reuters
SINGAPURA: Brunei yang kini Pengerusi ASEAN pada Isnin memberitahu bahawa pihaknya sedang berunding dengan negara-negara anggota lain berkaitan perkembangan di Myanmar.
Pihak tentera negara itu baru saja melancarkan pengambilalihan kuasa dan mengisytiharkan darurat selama setahun.
Portal berita Channel News Asia memetik Kementerian Luar Brunei, yang menyatakan: “Brunei Darussalam sebagai Pengerusi ASEAN kini sedang berunding dengan negara-negara anggota ASEAN lain tentang keperluan mengeluarkan kenyataan bersama ASEAN.”
Beberapa figura politik Myanmar, termasuk Canselor Aung San Suu Kyi serta pemimpin-pemimpin dari parti Liga emokrasi Nasional (NLD), telah ditahan susulan ketegangan antara kerajaan awam dan juga tentera.
Tentera Myanmar pada Isnin berkata mereka telah bertindak menahan Suu Kyi dan pemimpin-pemimpin NLD yang lain berikutan ‘penipuan dalam pilihan raya’, seterusnya menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Jeneral Min Aung Hlaing.
BACA: Rampasan kuasa Myanmar: Jeneral Min Aung Hlaing kini menjadi tumpuan
BACA: Rampasan kuasa Myanmar: Wisma Putra suarakan kebimbangan serius
BACA: Demokrasi lawan tentera di Myanmar, siapa menang, siapa tewas?
Pengacara di saluran televisyen Myawaddy TV yang dimiliki tentera telah membuat pengumuman tersebut, dengan menyatakan bahawa terdapat klausa dalam perlembagan negara itu yang membolehkan tentera mengambil alih sekiranya negara dalam tempoh darurat.
Punca rampasan kuasa itu dikatakan tercetus apabila pihak kerajaan gagal memberi maklum balas tentang dakwaan tentera mengenai ‘penipuan dalam undian’ semasa pilihan raya November lalu, selain kegagalan menangguhkan pilihan raya itu sendiri sewaktu krisis COVID-19.
Setakat ini, kerajaan-kerajaan negara ASEAN telah mengeluarkan kenyataan berasingan berkenaan situasi di Myanmar.
#ASEAN #rampasan kuasa myanmar #Kenyataan Bersama #Brunei #politik #Negara Anggota ASEAN