Dua bekas menteri Algeria pada Ahad diletak di bawah kawalan kehakiman selepas mereka didengar oleh majistret di Mahkamah Agung berhubung beberapa kes rasuah, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan media rasmi.

Karim Djoudi, bekas menteri kewangan, dan Amar Tou, bekas menteri pengangkutan, disyaki menyalahgunakan kuasa, melanggar prosedur perolehan awam dalam usaha menandatangani kontrak secara haram dan memberikan keistimewaan yang tidak wajar kepada orang lain, menurut laporan media rasmi.

Pertuduhan itu merujuk kepada kes seorang ahli perniagaan Mourad Oulmi, CEO kilang pemasangan kereta Volkswagen-SOVAC, yang turut dibicarakan di mahkamah atas pertuduhan mendapat keistimewaan secara haram dan menyeleweng dana awam.

Kedua-dua bekas menteri menyertai senarai pegawai kanan yang telah diletak di bawah kawalan kehakiman, termasuk bekas menteri pengangkutan dan kerja awam, Abdelghani Zaalane.

Beberapa siri siasatan kehakiman telah dilancarkan oleh pihak berkuasa keadilan Algeria susulan tunjuk perasaan popular yang mengutuk tadbir urus yang buruk, rasuah serta wang haram dan desakan agar mereka yang terlibat dalam kes rasuah diheret ke muka pengadilan.

Beberapa bekas menteri dan para pegawai kanan semasa menjadi sasaran termasuk dua bekas perdana menteri iaitu Ahmed Ouyahia dan Abdelmalek Sellal, yang kini dalam tahanan, bersama beberapa lagi ahli perniagaan, yang kebanyakannya didakwa atas pertuduhan rasuah, menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana awam.

Pada 26 Mei, sejumlah 12 fail berkaitan rasuah milik bekas ahli politik kanan, yang berada di bawah pentadbiran kerajaan Presiden Abdelaziz Bouteflika yang digulingkan, telah dipindahkan kepada Peguam Negara di Mahkamah Agung sementara menunggu perbicaraan.

-- BERNAMA