MALAYSIA
Tiga pelajar UTM cipta mesin pencetak layan diri 24 jam

Ketua Pegawai Eksekutif Uninet Teknologi Enterprise Fikri Akmal Aizuddin Bahrim (kanan) dan Ketua Pegawai Teknologi Uninet Teknologi Enterprise Iqmal Aizat Mohd Zamri menunjukkan mesin percetakan PrinTEX. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Segalanya bermula daripada satu masalah yang nampak remeh, ingin mencetak tugasan pada waktu malam atau hari cuti umum, namun kebanyakan kedai percetakan tutup awal atau tidak beroperasi pada waktu tertentu.
Ringkasan AI
- Tiga pelajar UTM mencipta kios percetakan automatik PrintTEX untuk memudahkan pelajar mencetak tugasan bila-bila masa, termasuk pada waktu malam dan cuti umum, menggunakan aplikasi mudah alih berasaskan IoT.
- Projek ini dimulakan dengan dana sendiri dan dibangunkan sepenuhnya oleh mereka, sebelum mendapat geran RM30,000 daripada MTDC dan sokongan UTM untuk mengkomersialkannya.
- PrintTEX kini beroperasi di UTM Skudai dan UNISEL, serta menerima minat daripada beberapa institusi MARA untuk memperluas penggunaannya.
Fikri Akmal Aizuddin, yang juga pelajar tahun akhir jurusan Komputer Sains di Fakulti Komputeran UTM berkata mesin berkenaan turut dibangunkan bersama aplikasi mudah alih PrinTEX bagi khidmat cetakan secara 'on demand', dengan sekeping cetakan hitam putih berharga 20 sen, manakala cetakan berwarna 45 sen.
"Aplikasi mudah alih PrinTEX juga dilengkapi dengan pelbagai fungsi menarik seperti pengguna dapat mengetahui lokasi PrinTEX berhampiran, muat naik dokumen dan pembayaran secara dalam talian menerusi aplikasi PrinTEX.
"Melalui PrinTEX yang berasaskan Internet benda (IoT), pengguna hanya perlu memasang aplikasi mudah alih, memuat naik dokumen dan membuat pembayaran minimum RM3 dan seterusnya, pengguna hanya perlu hadir ke kios dan mengimbas kod respons pantas (QR) untuk mencetak dokumen serta-merta," katanya di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Uninet Teknologi Enterprise Fikri Akmal Aizuddin Bahrim menunjukkan cara penggunaan PrinTEX. - Foto Bernama
Fikri Akmal Aizuddin berkata pada awalnya mereka membangunkan prototaip asas atau produk berdaya maju minimum (MVP) pada Ogos 2023 menggunakan dana sendiri melibatkan kos pembangunan, perkakasan seperti pencetak, sistem storan dan komponen elektronik lain.
UTM Centre for Student Innovation and Technology Entrepreneurship, katanya memberi sokongan penuh sehingga mereka menerima dana RM30,000 daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) bagi membantu dalam pembangunan sistem, dokumentasi dan proses pendaftaran syarikat.
"Seluruh sistem ini daripada aplikasi, platform integrasi dengan mesin, konfigurasi pencetak dan pengurusan pembayaran kami bangunkan sendiri. Tempoh penyelidikan dan pembangunan mengambil masa sekitar enam bulan sebelum satu unit mesin berjaya dikeluarkan dalam masa satu hingga dua bulan," katanya.
Setakat ini, mereka memiliki dua kios percetakan di dalam kampus UTM Skudai iaitu di Bilik Belajar 24 jam, Perpustakaan Sultanah Zanariah dan di Arked Lestari, manakala di luar Johor di Universiti Selangor (UNISEL) Bestari Jaya.
Syarikat itu juga menerima pelawaan daripada dua institusi pengajian tinggi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang berminat untuk disediakan satu ruangan untuk PrinTEX.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami