LONDON: Presiden Amerika Syarikat memberi penghormatan penuh emosi kepada Ratu Elizabeth II pada malam sebelum pengebumian baginda, pada Ahad.

Joe Biden berkata, Britain dan dunia bertuah kerana mempunyai individu yang bermaruah dan berdedikasi di atas takhta selama 70 tahun.

Biden antara ramai orang kenamaan dan kerabat diraja dari Eropah, Asia, Afrika dan Amerika yang tiba di London untuk upacara pengebumian Ratu Elizabeth II, pada Isnin.

Presiden Amerika Syarikat itu menambah, kematian ratu pada usia 96 tahun telah meninggalkan lompong yang besar di pentas global.

Sementara itu, Biden sempat menandatangani buku ucapan takziah dan menziarahi tubuh Ratu Elizabeth  II yang berada di dalam keranda di Westminster Abbey.

Biden turut menyatakan beliau telah bertemu pewaris takhta, Raja Charles III dan memberikan kata-kata semangat kepada baginda bahawa Ratu Elizabeth II akan bersama baginda setiap langkah dan setiap saat.

Ratusan ribu orang telah turun ke London untuk mengucapkan selamat tinggal kepada raja paling lama memerintah Britain itu.

Orang ramai dari dalam dan luar negara telah beratur selama berjam-jam untuk memberikan penghormatan terakhir.

Presiden Amerika Syarikat itu kemudiannya menyertai Raja Charles III dan pemimpin lain untuk majlis resepsi malam menjelang pengebumian negara.

Biden adalah salah seorang daripada 14 Presiden Amerika Syarikat yang memegang jawatan semasa pemerintahan Ratu Elizabeth II.

Biden akan menyertai Presiden, Perdana Menteri, Raja, Permaisuri dan Sultan yang mewakili hampir 200 negara dan wilayah di upacara pengebumian itu.