Ratusan ribu petani serbu Red Fort, bantah akta pertanian baharu

Agensi
Januari 27, 2021 00:36 MYT
Keganasan di ibu kota India itu mencemari sambutan Hari Republik di bandar berkenaan. - Foto AP/Dinesh Joshi
NEW DELHI: Ratusan ribu petani menyerbu Red Fort di ibu kota India pada Selasa bagi membantah akta pertanian baharu yang diperkenalkan kerajaan.
Kumpulan petani menunggang kuda dan memandu traktor bagi melanggar sekatan polis dan menyerbu bangunan bersejarah berkenaan, sebagai tanda mencabar kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi.
Polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air serta memasang sekatan bagi menghalang penunjuk perasaan untuk sampai ke pusat New Delhi, tetapi tidak berjaya.
Pihak polis berkata sehingga kini, seorang disahkan maut susulan traktor yang dinaikinya terbalik.
Bagaimanapun, petani yang berada di lokasi mendakwa bahawa petani itu ditembak.
Keganasan tersebut mencemar sambutan Hari Republik di bandar berkenaan.
Akta baharu yang diperkenalkan kerajaan didakwa akan mengubah sektor pertanian.
Ia melonggarkan peraturan berhubung penjualan, harga dan simpanan barangan pertanian.
Sebelum ini, peraturan sedemikian melindungi petani India daripada pasaran bebas selama berdekad.
Petani, bagaimanapun, mendakwa akta baharu tersebut mengancam konsesi mereka.
Ini termasuk melemahkan kuasa beli dan mendedahkan mereka kepada eksploitasi syarikat swasta.
Untuk rekod, aktiviti pertanian menyokong lebih separuh daripada populasi India yang terdiri daripada 1.4 bilion orang.
Bagaimanapun, pengaruh ekonomi petani berkurang sejak tiga dekad lalu.
Para petani sekarang hanya menyumbang 15 peratus kepada ekonomi negara yang berjumlah AS$2.9 trilion.
Lebih daripada separuh petani menanggung hutang yang banyak dan menurut rekod rasmi, 20,638 daripada mereka telah membunuh diri pada tahun 2018 dan 2019 akibat hutang tersebut.
#petani #protes #Red Fort #akta pertanian #Narendra Modi #Hari Republik #New Delhi #Penunjuk perasaan #ekonomi #keganasan