GAZA: Ratusan rakyat Palestin maut dalam serangan udara tentera rejim Zionis Israel ke atas sebuah hospital di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza.

Sejumlah 500 nyawa terkorban dalam serangan udara Israel di Hospital Al-Ahli al- Arabi pada Selasa yang dipenuhi pesakit dan penduduk Palestin yang tumpang berteduh.

Pihak berkuasa tempatan mengesahkan ia merupakan insiden paling berdarah di Gaza sejak perang Israel-Hamas tercetus 7 Oktober lalu.

Menteri Kesihatan Gaza, Mai Alkaila menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai dan harus bertanggungjawab terhadap insiden ini.

Bagaimanapun, rejim itu menafikan perkara itu dan menuduh ia merupakan serangan roket yang gagal dikendalikan oleh kumpulan tentera jihad Islam Palestin di kawasan berkenaan.

Visual orang ramai lari bertempiaran dan membawa mayat dalam keadaan gelap gelita juga berjaya dirakam menunjukkan bagaimana insiden ini telah mengorbankan mereka yang tidak berdosa.

Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh berkata, Amerika Syarikat (AS) merupakan dalang sebenar di sebalik serangan ke atas hospital berkenaan.

Beliau menegaskan, ini kerana, Washington telah melindungi Israel "meneruskan pencerobohan".

"Pembunuhan beramai-ramai di hospital membuktikan kekejaman Israel," katanya dalam ucapan yang disiarkan melalui televisyen.

Memetik laporan BBC, beliau menyeru seluruh rakyat Palestin untuk "bangkit menentang pendudukan dan penceroboh ini".

Ismail Haniyeh turut menggesa seluruh negara Arab serta umat Islam untuk mengadakan protes menentang keganasan Israel.

Sebelum ini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan sekurang-kurangnya enam maut selepas sebuah sekolah di Gaza yang menempatkan 4,000 rakyat Palestin diserang.

Kira-kira 600,000 penduduk telah melarikan diri dari bahagian utara Semenanjung Gaza ke arah selatan selepas Israel memberi amaran akan melakukan serangan, memetik larporan Reuters.

Israel turut menyekat bekalan makanan, air, bahan api dan bekalan elektrik sejak serangan dilancarkan Hamas pada 7 Oktober dan menafikan berlakunya krisis kemanusiaan di Gaza.

Presiden AS Joe Biden dijangka mengadakan lawatan ke Israel pada Rabu untuk mendengar rancangan serangan darat ke atas Gaza.