Ratusan warga Haiti anjur protes di resort milik Trump

Agensi
Januari 15, 2018 22:39 MYT
Ratusan penduduk Haiti mengadakan tunjuk perasaan bagi menuntut Donald Trump memohon maaf atas kenyataannya. - Gambar REUTERS
Ratusan warga Haiti di Amerika Syarikat mengadakan tunjuk perasaan di sepanjang jalan menuju ke Mar-a-Lago, Florida yang merupakan salah satu resort milik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Isnin.
Tunjuk perasaan dianjurkan susulan ucapan Trump yang menggelar negara Haiti dan beberapa negara lain sebagai negara "lubang najis" pada minggu lalu.
Menerusi video yang disiarkan WPEC-TV, kelihatan majoriti daripada mereka yang hadir membawa bersama bendera Haiti.
Kebanyakkan mereka juga menyelar gelaran yang diberikan Trump terhadap negara mereka.
Sementara itu, kumpulan kecil penyokong Trump yang berada di lokasi sama arah bertentangan turut membawa bendera Amerika Syarikat dan membawa sepanduk menandakan sokongan mereka kepada presiden berusia 71 tahun itu.
Pada minggu lalu, Trump mengeluarkan kenyataan menghina itu di pejabatnya di White House
Sejurus itu, Trump mengakui bahasa yang digunakan agak melampau, tetapi tidak menghina Haiti atau negara-negara miskin lain.
Kenyataan berbaur penghinaan itu turut merujuk kepada beberapa lain seperti El Salvador dan beberapa negara Afrika.
#Donald Trump #El Salvador #Florida #Haiti #Mar-a-Lago #protes #White House