NEW YORK:Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengecam keras tindakan tentera yang menjatuhkan kerajaan awam Myanmar, Isnin lepas.

Dalam taklimat tertutup kepada Majlis Keselamatan, jurucakap PBB Stephane Dujarric, mendesak anggota majlis itu secara sebulat suara memberi peringatan kepada tentera Myanmar untuk mendukung demokrasi di negara berkenaan.

PBB sudah berhubung dengan kepimpinan tentera sehari selepas rampasan kuasa berlaku.

Kata badan dunia itu, pembebasan segera ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi, dan beberapa pemimpin kanan dalam parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang lain harus dilakukan.

“Utusan khas meminta pembebasan segera Daw Aung San Suu Kyi, Presiden U Win Myint dan puluhan pemimpin politik, ahli keluarga serta aktivis yang ditahan.

“Schraner Burgener, duta utusan khas PBB ke Myanmar, menegaskan bahawa ini adalah satu tamparan hebat terhadap reformasi demokrasi di Myanmar,” katanya.

Tambahnya Burgener juga menyatakan bahawa pengisytiharan darurat dan penangkapan kepemimpinan awam adalah tidak berperlembagaan dan menyalahi undang-undang.

“Ia sangat penting bagi semua orang untuk menahan diri daripada melakukan keganasan, menghormati sepenuhnya hak asasi manusia dan kebebasan asasi.

“Burgener turut menekankan bahawa kita tidak boleh membiarkan kemunduran sepenuhnya sejak Myanmar dibuka pada 2011,” katanya.

BACA: Demokrasi lawan tentera di Myanmar, siapa menang, siapa tewas?

Sementara itu, pemimpin Republikan di Senat Amerika Syarikat, Mitch McConnell meminta sekatan paling keras dikenakan susulan rampasan kuasa dan penahanan Suu Kyi, yang juga canselor Myanmar.

Beliau juga menyarankan Amerika Syarikat mengetuai usaha diplomatik antarabangsa dan PBB  terhadap tentera yang melakukan rampasan kuasa.

“Apa yang berlaku sekarang adalah kerajaan tentera telah membubarkan demokrasi. Walaupun Suu Kyi sebelum ini pernah dikritik oleh beberapa negara di seluruh dunia, beliau memperjuangkan demokrasi di Myanmar.

“Presiden Joe Biden telah meminta pandangan saya terhadap isu ini dan saya menyatakan bahawa sekatan harus dilakukan pemimpin tentara ini. Namun kita harus lakukan sebulat suara,” jelasnya.

Jabatan luar negara Amerika Syarikat sedang mengkaji tindakan yang akan dikenakan terhadap rampasan kuasa di Myanmar.

Rampasan kuasa itu berlaku ketika ahli parlimen berkumpul di ibu negara untuk pembukaan sesi parlimen baharu.

BACA: Rampasan kuasa: Tentera Myanmar isytihar darurat satu tahun

BACA: Aung San Suu Kyi dan pemimpin kanan NLD ditahan


Pihak tentera berkata rampasan itu dilakukan kerana wujud unsur penipuan dalam Pilihan Raya Myanmar, yang dijalankan November lalu.