TEHRAN: Iran mengharapkan peperangan di Ukraine segera berakhir namun percaya bahawa krisis itu berpunca daripada polisi Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Barat lain, kata Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

“Di Ukraine, kita mengharapkan supaya peperangan dihentikan,” ujarnya dalam satu ucapan pada Selasa yang disiarkan di televisyen.

Khamenei yang dipetik Al-Jazeera menambah, krisis hanya boleh diredakan hanya jika ‘punca dan asalnya’ diketahui, iaitu yang dikatakannya sebagai polisi kuasa-kuasa Barat.

Tegasnya, ‘rejim mafia’ dari AS mencetus banyak krisis di seluruh dunia, termasuk penciptaan ISIS, selain masuk campur urusan dalaman negara lain dengan memaksa perubahan rejim dan kemudian meletakkan ahli politik pro-Barat.

Ukraine telah menjadi ‘mangsa’ kepada polisi itu dan telah diheret ke dalam situasi sekarang ini, ujar Khamenei.

Dalam ucapannya selama sejam berkenaan perang Ukraine, tidak sekali pun dia menyebut tentang Rusia.

Khamenei berkata, kerajaan-kerajaan dan rakyat di seluruh dunia boleh mengambil dua pengajaran dari krisis di Ukraine, iaitu: Barat tidak boleh dipercayai, dan sokongan popular sangat penting.

“Sokongan kerajaan-kerajaan Barat bagi pentadbiran dan ahli politik yang berpihak kepada mereka pada dasarnya umpama tidak kelihatan,” ujar Khamenei, dengan memetik peristiwa pengunduran angkatan tentera AS dari Afghanistan apabila ia kembali di bawah Taliban.

Menurut Khamenei, rakyat adalah penyokong kuat sesebuah kerajaan, dan jika rakyat Ukraine menyokong sepenuhnya kerajaan mereka, keadaan seperti sekarang ini tidak berlaku.

Akar umbinya – NATO!

Reaksi awal Iran terhadap krisis di Ukraine masih selari dengan pendirian Khamenei, yang mengenal pasti bahawa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang dikepalai AS sebagai dalangnya.

Presiden Ebrahim Raisi pada minggu lalu adalah antara pemimpin dunai terawal yang berhubung terus dengan Vladimir Putin, selepas Presiden Rusia itu mengisytiharkan perang dengan Ukraine.

Dalam panggilan telefon itu, Raisi memberitahu Putin bahawa peluasan NATO ke Timur menjadi ancaman serius terhadap keselamatan dan kestabilan negara-negara bebas.