Skip to main content

Malaysia

Warga Malaysia di perantauan bimbang perang jejas perancangan balik beraya

71726060523_HeathrowAirport.jpg
Pengembara kini perlu merancang lebih teliti, dengan mencari pilihan penerbangan yang tidak membuat hentian transit di Asia Barat. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Warga Malaysia yang berada di pelbagai negara di perantauan menyuarakan kebimbangan tidak dapat meraikan 1 Syawal di kampung halaman susulan perkembangan yang berlaku di Asia Barat sejak Sabtu. 

Keresahan warga Malaysia dapat dilihat di platform Threads apabila terdapat pengguna yang mendoakan rantau Asia Barat akan kembali aman memandangkan tiket penerbangan mereka untuk pulang beraya menjelang minggu depan.

Advertisement

Seorang pengguna Threads, renjanabungaditelinga berkata beliau dijadualkan pulang ke Malaysia dua minggu lagi namun dengan peperangan yang berlaku beliau reda jika tidak dapat balik beraya. 

Pengguna Threads mariaarima_kakya berharap keadaan akan pulih menjelang minggu depan supaya beliau boleh pulang beraya. 

Pengguna Threads shahrulhambali berkata, untuk pulang beraya di Malaysia, beliau perlu memilih syarikat penerbangan yang tidak transit di Asia Barat. 

Terdapat pengguna Threads yang mencadangkan beliau untuk terbang ke China terlebih dulu dan pulang beraya di Malaysia dari negara Tembok Besar itu.

Pada Ahad, syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines melanjutkan penggantungan semua penerbangan ke dan dari Doha (DOH), Jeddah (JED), serta Madinah (MED) sehingga 4 Mac, 2026, susulan pembatalan yang dilaksanakan bermula 28 Feb hingga 1 Mac 2026. 

Menurut syarikat induknya, Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), ini berikutan penutupan berterusan ruang udara di beberapa bahagian di Asia Barat di tengah-tengah perkembangan keselamatan serantau yang semakin memuncak. 

Pada Sabtu, Israel bersama-sama Amerika Syarikat menyerang Iran, menyebabkan Iran membalas serangan itu dengan menyerang Israel  dan kepentingan Amerika Syarikat di negara Teluk. 

-- BERNAMA

Must Watch Video