KUALA LUMPUR: SpaceX, syarikat penerbangan angkasa lepas terkenal Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini memperoleh pekerja baharu yang luar biasa.

Kairan Quazi, 14, dilantik sebagai pekerja syarikat itu, menjadikannya pekerja termuda dalam sejarah SpaceX.

Prihatin terhadap potensi bakat muda, Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk secara peribadi menganugerahkan jawatan Jurutera Perisian kepada Quazi selepas menyedari kehebatannya dalam bidang teknologi dan aeroangkasa selain mempunyai resume yang mengagumkan.

Penglibatan beliau dalam komuniti STEM (Sains, Teknologi, Vokasional, Matematik) di peringkat antarabangsa telah menarik perhatian ramai, termasuk Musk sendiri.

Menurut laporan Business Insider, Musk tertarik dengan video Quazi menerangkan tentang enjin roket dan reka bentuk angkasa lepas dengan mahir melalui platform YouTube.

Quazi yang berasal dari California, juga telah diiktiraf sebagai genius muda dalam bidang sains dan teknologi, selain pernah mencipta sejarah sebagai graduan termuda Santa Clara University, AS.

Setakat ini, beliau telah menghasilkan banyak projek inovatif dan menerima pelbagai pengiktirafan cemerlang dalam industri sama.

Menurut sumber dalaman di SpaceX, Quazi akan bekerja dalam pasukan teknikal, bekerja rapat dengan jurutera dan saintis berpengalaman.

"Menerusi peranan baharu Quazi, beliau diharapkan dapat memberi sumbangan besar dalam mempercepatkan pembangunan teknologi aeroangkasa syarikat," tambah Musk.

Pengumuman pelantikan ini pada masa sama telah menarik perhatian masyarakat. Ramai melihat langkah ini sebagai inspirasi buat generasi muda yang berminat dalam bidang sains dan teknologi, sekali gus menunjukkan betapa pentingnya mengiktiraf bakat serta minat dalam kalangan kanak-kanak dan belia.

Quazi sendiri tidak menyangka dengan peluang itu dan teruja untuk menimba ilmu daripada pakar-pakar angkasa lepas di SpaceX.

"Saya sangat berterima kasih kepada Elon Musk dan SpaceX atas peluang diberikan ini. Saya berharap dapat memberi sumbangan berharga terhadap dunia aeroangkasa dan memenuhi impian saya untuk meneroka angkasa," katanya.

Kairan Quazi telah membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mencapai kejayaan dalam bidang sains dan teknologi. Melalui langkah inovatif dan galakan syarikat seperti SpaceX, golongan muda yang berbakat boleh melangkah ke hadapan dan menyumbang idea baharu mereka.