Skip to main content

Malaysia

Lebih 1,000 mesin layan diri Program Inisiatif Pendapatan Rakyat, jualan cecah RM20.46 juta

KUALA LUMPUR, 16 Mei -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan (dua, kanan) bersama Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir (tengah) menyerahkan replika cek kepada penerima Inisiatif Modal Perniagaan iaitu Yazrina Md Yamin (kanan) pada Majlis Perasmian Kerjasama Strategik Kementerian Ekonomi dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat - Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN) di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.  -- fotoBERNAMA
Akmal (tiga, kiri) pada Majlis Perasmian Kerjasama Strategik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Kementerian Ekonomi bagi memperkasa usahawan asnaf melalui IPR-INSAN di ibu negara pada Sabtu. - Gambar/ Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,125 unit mesin layan diri telah dipasang di seluruh negara menerusi Program Inisiatif Pendapatan Rakyat - Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN) sehingga kini.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, program berkenaan turut merekodkan jualan keseluruhan sebanyak RM20.46 juta setakat Mac 2026 sekali gus mencerminkan tahap keberkesanan pelaksanaan program ini dalam menjana pendapatan peserta.

"Seramai 712 peserta mencatatkan hasil jualan kumulatif (purata) melebihi RM2,000 sebulan sejak mula beroperasi.

“Melihat kepada keboleh­laksanaan program ini dan pada masa sama keadaan ekonomi hari ini, kita perlu terus mempelbagaikan ruang untuk rakyat menjana pendapatan terutama kumpulan sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Kerjasama Strategik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Kementerian Ekonomi bagi memperkasa usahawan asnaf melalui IPR-INSAN di ibu negara pada Sabtu.

Katanya, kerjasama Kementerian Ekonomi bersama MAIWP diwujudkan bagi memperluaskan pelaksanaan program kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.

"Untuk memastikan kelansungan program ini juga, insya-Allah Kementerian Ekonomi akan kemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk memanjangkan lagi tempoh program ini untuk tempoh dua tahun mendatang," tambahnya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata MAIWP menyambut baik kerjasama tersebut dalam usaha memperkasa ekonomi golongan asnaf melalui keusahawanan.

Beliau berkata pendekatan kerjasama itu akan dilaksanakan secara dua hala, iaitu Kementerian Ekonomi menyediakan mesin layan diri serta insentif sewaan, manakala MAIWP menyalurkan bantuan modal permulaan kepada usahawan asnaf yang layak.

“MAIWP menyahut dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Ekonomi atas jemputan menjayakan kerjasama melalui IPR-INSAN ini.

"Melalui pendekatan ini, MAIWP akan terus memainkan peranan dalam membangunkan usahawan asnaf dengan menyediakan bantuan modal permulaan, manakala Kementerian Ekonomi menyediakan mesin layan diri serta insentif sewaan," katanya lagi.

Must Watch Video