Ribuan jejak dinosaur berusia 210 juta tahun ditemukan di Itali

Sejarah penemuan jejak dinosaur di Itali bukan sesuatu yang baharu, malah hasil penemuan paleontologi di pelbagai tapak di negara itu sudah dijadikan tarikan pelancongan. - Facebook Visit Italy
ISTANBUL: Ribuan jejak dinosaur yang ditinggalkan kira-kira 210 juta tahun lepas ditemukan di Taman Negara Stelvio di Itali, yang terletak di Pergunungan Alps Tengah, lapor Anadolu Ajansi memetik agensi berita ANSA pada Isnin.
"Ia benar-benar sebuah 'lembah dinosaur' yang terbentang sejauh beberapa kilometer: ia merupakan tapak terbesar di Alps dan antara yang paling kaya di dunia," kata ahli paleontologi Muzium Sejarah Alam Milan Cristiano Dal Sasso, kepada ANSA.
Jejak sepanjang ratusan meter itu, yang ditinggalkan oleh kawanan dinosaur herbivor bersaiz besar di permukaan batu dolomit yang hampir menegak, dilaporkan terpelihara dengan baik sehingga memperlihat kesan jari kaki dan kuku.
Dal Sasso menyifatkan penemuan itu sebagai antara penemuan paleontologi paling penting berkaitan dinosaur di Itali.
"Tempat ini dipenuhi dinosaur, ia merupakan khazanah saintifik yang amat besar dan akan mengambil masa berdekad-dekad untuk dikaji, tambahan pula tapak ini tidak boleh diakses melalui laluan biasa, dan untuk meneliti jejak berkenaan kami perlu menggunakan dron serta teknologi penderiaan jauh," jelasnya.
Menurut analisis awal, jejak kaki itu dianggarkan milik dinosaur prosauropod dari Zaman Trias Akhir, iaitu dinosaur herbivor berleher panjang, berkepala kecil dan mempunyai kuku tajam.
--BERNAMA-ANADOLU
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


