Ribuan rakyat Haiti tunjuk perasaan, dua ditembak

Agensi
Oktober 4, 2019 23:50 MYT
Dilaporkan, bantahan yang berlangsung pada minggu ini antara yang terbesar dan paling buruk sejak beberapa bulan lalu. REUTERS/Fail
Sekurang-kurangnya dua orang ditembak pihak polis dalam rusuhan ketika cubaan menghalang penunjuk perasaan bergerak ke sebuah lapangan terbang di ibu kota Haiti, pada Jumaat.
Pihak berkuasa bertindak menembak gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan sementara orang ramai membalas dengan mambaling batu dan botol.
Kejadian berlaku ketika ribuan penunjuk perasaan berarak melalui ibu kota Haiti menuju ke ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendesak pengunduran Presiden Haiti, Jovenel Moise.
Difahamkan, penunjuk perasaan turut membawa senjata seperti parang dan pisau.
Rakyat Haiti melakukan bantahan berikutan kekurangan makanan, nilai mata wang yang lemah, inflasi dua digit dan tuduhan rasuah melibatkan pegawai awam.
Malah, Moise turut didesak agar meletak jawatan berikutan kegagalan beliau dalam menangani masalah yang dihadapi di Haiti.
Dilaporkan, bantahan yang berlangsung pada minggu ini antara yang terbesar dan paling buruk sejak beberapa bulan lalu.
#letak jawatan #PBB #protes #Rakyat Haiti #Rasuah #Rusuhan Haiti