Ribuan rakyat Palestin kembali ke Bandar Gaza susulan gencatan senjata

Ramai daripada mereka terpaksa berjalan kaki sekurang-kurangnya tujuh kilometer, membawa barangan mereka, setelah terpaksa meninggalkan rumah akibat serangan berulang oleh tentera Israel. - Gambar Reuters/Mahmoud Issa
GAZA: Ribuan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal mula kembali ke Bandar Gaza pada Jumaat, selepas perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa secara rasmi, lapor Agensi Berita WAFA.
Sumber tempatan melaporkan yang orang ramai mula berjalan kaki kembali ke rumah masing-masing pada pagi Jumaat melalui Jalan Pantai Rashid dan Jalan Salah al-Din, dua laluan utama yang menghubungkan utara dan selatan Semenanjung Gaza.
Ramai daripada mereka terpaksa berjalan kaki sekurang-kurangnya tujuh kilometer, membawa barangan mereka, setelah terpaksa meninggalkan rumah akibat serangan berulang oleh tentera Israel.
Jalan pesisir Rashid, yang merintangi utara hingga ke hujung selatan Semenanjung, menyaksikan banyak pembunuhan beramai-ramai semasa serangan, khususnya apabila rakyat Palestin cuba melarikan diri ke selatan akibat arahan pengusiran oleh Israel. Ramai terbunuh di laluan ini.Kepulangan keluarga yang kehilangan tempat tinggal berlaku hanya beberapa jam selepas kerajaan Israel memberi kelulusan akhir terhadap perjanjian gencatan senjata yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, bagi menamatkan perang dua tahun Israel di Gaza.
Perjanjian itu menandakan permulaan Fasa Pertama pelan damai yang lebih luas termasuk penghentian penuh pertempuran, pengunduran tentera Israel dari Gaza, kemasukan bantuan kemanusiaan, serta pertukaran tahanan dan tebusan.
Trump mengumumkan perjanjian itu pada 8 Okt, menyifatkannya sebagai permulaan kepada usaha lebih besar untuk mencapai perdamaian di Timur Tengah, membina semula Gaza dan menggerakkan penyelesaian politik di rantau itu.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami