RAKYAT Indonesia turun ke jalanan pada Selasa, membantah kelulusan Undang-Undang Cipta Kerja yang dikritik kerana didakwa berpihak kepada kepentingan perniagaan berbanding hak pekerja.

Kelulusan undang-undang itu membabitkan semakan semula ke atas lebih 70 undang-undang sedia ada.

Ia digelar Omnibus Law kerana merupakan undang-undang yang mencakupi berbagai isu atau topik.

Undang-undang itu diluluskan pada Isnin (5 Okt), tiga hari lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan pentadbiran Presiden Joko Widodo.

Kelulusan Parlimen itu juga dibuat sehari sebelum mogok tiga hari dilancarkan bermula Selasa, dijangka membabitkan dua juta pekerja daripada pelbagai persatuan.


Memetik laporan media tempatan, hari pertama protes di Banten dan Bandung menyaksikan polis menggunakan meriam air dan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan.



Di Jakarta pula, pihak polis menghalang peserta protes daripada berhimpun di hadapan bangunan Parlimen, atas alasan membendung penularan wabak COVID-19.

Kerajaan menegaskan bahawa undang-undang tersebut melonggarkan peraturan berhubung perlindungan pekerja dan alam sekitar bagi meningkatkan pelaburan, sekali gus mencipta pekerjaan baharu.




Pengkritik bagaimanapun berpandangan, reformasi ke atas undang-undang tersebut terlalu berpihak kepada kepentingan perniagaan sehingga menyebabkan kebajikan pekerja dan alam sekitar teraniaya.

Menurut The Jakarta Post, draf terakhir undang-undang itu merangkumi 905 muka surat dan memberi kesan kepada 79 undang-undang sedia ada.