INTERNATIONAL
Ribut debu landa Australia, pakar tegaskan kesan melampau perubahan iklim

Ribut debu ini berpunca daripada kawasan dilanda kemarau di barat Victoria dan Australia Selatan, iaitu tanah yang kering dan terdedah mudah terhakis. - Foto X/Jack Straw
SYDNEY: Ribut debu berskala besar yang melanda Australia telah menyelubungi Sydney dengan jerebu tebal, mencetuskan amaran kesihatan dan menyerlahkan kesan semakin ketara perubahan iklim ekstrem di seluruh negara, lapor Xinhua.
Jabatan Kesihatan New South Wales (NSW) pada Selasa mengeluarkan amaran mengenai kualiti udara yang sangat buruk di beberapa kawasan, apabila jerebu yang berpunca daripada kemarau dan angin kencang di Australia Selatan mula melanda NSW.
Pakar berkata fenomena ini menjadi peringatan jelas terhadap kerentanan Australia kepada perubahan corak cuaca dan kemerosotan tanah.
Menurut Milton Speer, felo pelawat di Universiti Teknologi Sydney, perubahan atmosfera jangka panjang menyumbang kepada kemarau di selatan Australia dan hujan lebat di sepanjang pantai timur.Profesor Paul Beggs dari Universiti Macquarie pula berkata kejadian ekstrem seperti ini mencerminkan trend iklim jangka panjang. Kajian menunjukkan antara 2014 hingga 2023, sebahagian besar Australia mengalami kemarau yang lebih teruk berbanding era 1950-an, yang memberi kesan besar terhadap kesihatan fizikal dan mental.
Pakar tanah dari Universiti Southern Cross, John Grant, memberi amaran tentang kesan jangka panjang terhadap tanah. Ribut debu ini berpunca daripada kawasan dilanda kemarau di barat Victoria dan Australia Selatan, iaitu tanah yang kering dan terdedah mudah terhakis.
"Hakisan angin akan menyingkirkan bahagian paling subur tanah. Ini bukan sahaja menjejaskan produktiviti tetapi menjadikan kawasan tersebut lebih mudah terhakis lagi," kata Grant.
"Masalah ini akan berlarutan dan menjadi semakin teruk. Kesan perubahan iklim hanya mempercepatkan proses ini," tambahnya, sambil menjelaskan bahawa ribut seperti ini boleh membawa berjuta-juta tan lapisan atas tanah, sekali gus memberi kesan buruk kepada pertanian, ekosistem asli dan kesihatan manusia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami