Ribut kuat landa Gaza ragut 11 nyawa, kerosakan meluas dilaporkan

Sistem tekanan rendah juga menyebabkan keseluruhan kem pelarian di kawasan Al-Mawasi, Khan Younis dilanda banjir. - AP
GAZA: Ribut kuat dan sistem tekanan rendah yang melanda Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lalu mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan beberapa lagi cedera susulan runtuhan bangunan serta banjir di pelbagai kawasan wilayah itu.
Perkhidmatan ambulans dan kecemasan melaporkan lima orang terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas sebuah rumah yang menempatkan keluarga pelarian runtuh di kawasan Beir al-Naaja di bandar Beit Lahiya, utara Gaza, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Dua lagi maut apabila dinding besar tumbang ke atas khemah keluarga pelarian di kejiranan Al-Rimal di barat Bandar Gaza awal Jumaat.
Seorang rakyat Palestin turut terbunuh pada Khamis apabila dinding runtuh di kem pelarian Shati.
Sementara itu, dua kanak-kanak cedera selepas khemah mereka runtuh di kawasan Al-Amadi, manakala suhu sejuk melampau menyebabkan seorang bayi meninggal dunia di dalam khemah pelarian di kawasan Al-Mawasi, Khan Younis pada Khamis.
Pasukan pertahanan awam melaporkan sekurang-kurangnya 10 rumah runtuh dalam beberapa jam lalu, termasuk dua di kejiranan Al-Karama dan Sheikh Radwan.
Penduduk rumah keluarga Darbieh di Sheikh Radwan dipindahkan selepas pintu masuk rumah runtuh, manakala keluarga Al-Madhoun turut dipindahkan berhampiran bulatan Al-Karama di Bandar Gaza.
Sistem tekanan rendah itu juga menyebabkan keseluruhan kem pelarian di kawasan Al-Mawasi, Khan Younis dilanda banjir serta menyebabkan kerosakan di kawasan luas di Al-Basa dan Al-Baraka di Deir al-Balah, pasar utama di Al-Nuseirat, serta kawasan Yarmouk dan Al-Mina di Bandar Gaza.
Menurut Pertahanan Awam, kira-kira 250,000 keluarga kini tinggal di kem pelarian di seluruh Semenanjung Gaza, kebanyakannya berdepan cuaca sejuk dan banjir di dalam khemah yang uzur, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt, keadaan hidup di Gaza tidak berubah kerana Israel terus mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan trak bantuan, melanggar protokol kemanusiaan perjanjian itu.
Sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 70,000 orang - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 171,000 yang lain di Semenanjung Gaza, dengan serangan masih berterusan walaupun gencatan senjata telah berlangsung selama dua bulan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


