INSIDEN seorang kanak-kanak perempuan dirogol dan dibunuh di India mengundang kemarahan bukan sahaja kalangan masyarakat, malah protes turut disertai bintang Bollywood.

Dalam insiden itu, beberapa pegawai polis bersama enam lagi suspek turut didakwa menculik, merogol dan membunuh Asifa Bano, 8 tahun, di daerah Kathua, Jammu dan Kashmir.

Mayat Asifa dijumpai dalam keadaan menyayat hati seminggu selepas dia diculik.

Asifa dikatakan menjadi mangsa serangan sebuah kumpulan yang ingin menghalau komuniti Bakherwal di kawasan Rassana.

Keluarga Asifa merupakan ahli komuniti tersebut.

BACA: Diberi ubat pelali, dirogol berkali-kali, sebelum kepala dihentak batu

Pelakon Hollywood-Bollywood, Priyanka Chopra memuat naik sebuah entri di laman Twitter dengan soalan yang ditujukan kepada 22 juta pengikutnya, "Berapa lagi kanak-kanak seperti Asifa akan dikorbankan dalam pertempuran kerana agama dan politik?"

"Berapa lagi kanak-kanak yang harus menderita jenayah seperti ini sebelum kita sedar?"

"Sangat menjijikkan. Masa untuk mengambil tindakan. Kita terhutang kepada Asifa dan kemanusiaan. #keadilanuntukAsifa"


Protes memuncak di seluruh India, dengan rakyat dari pelbagai latar belakang hadir untuk meluahkan kemarahan dan juga memberi penghormatan kepada Asifa.

Pelakon Bollywood Preity Zinta pula menyeru mahkamah menjatuhkan hukuman mati kepada suspek.

Dia berkata, "Saya akan bersuara untuk semua wanita dan kanak-kanak tidak mengira agama. Bagi saya kemanusiaan lebih besar dari agama."

Preity turut memuat naik sebuah poster yang menunjukkan wanita menangis dengan mesej, "Lelaki sejati tidak akan merogol wanita."

Dia menyeru kerajaan mewujudkan mahkamah khas untuk mengendalikan kes jenayah ganas terhadap wanita dan kanak-kanak dalam kadar yang segera.

Turut meluahkan perasaan sedih dan marah di laman media sosial ialah pengarah Karan Johar, pelakon Sonam Kapoor dan Akshay Kumar.