Roket angkasa Nuri Korea Selatan dijadual dilancarkan 12.55 tengah malam Khamis

Ini merupakan kali keempat Korea Selatan melancarkan roket angkasa buatan dalam negara. - REUTERS
GOHEUNG (Korea Selatan): Roket angkasa buatan Korea Selatan, Nuri, akan berlepas dari Pusat Angkasa Naro pada 12.55 tengah malam Khamis (11.55 malam Rabu waktu Malaysia), menurut agensi angkasa negara itu pada Rabu, bagi misinya untuk menghantar 13 satelit ke orbit, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pentadbiran AeroAngkasa Korea (KASA) dan Institut Penyelidikan Aeroangkasa Korea (KARI) berkata roket seberat 200 tan itu dijadualkan berlepas dari pusat angkasa di perkampungan pantai selatan Goheung, kira-kira 473 kilometer (km) di selatan Seoul.
Proses meletakkan roket di tapak pelancaran, yang bermula pada Selasa disiapkan kira-kira 11 pagi.
Roket itu akan mengaktifkan operasi prapelancaran 10 minit sebelum berlepas, dan urutan tersebut akan digantung secara automatik jika sebarang isu dikesan, menurut KASA.
"Selepas meneliti semua keadaan, kami mendapati keadaan meteorologi memenuhi syarat," kata Pentadbir KASA, Yoon Young-bin, pada sidang media di pusat angkasa itu.
"KASA, KARI dan Hanwha Aerospace akan melakukan sedaya upaya sehingga saat terakhir pelancaran supaya roket itu dapat meletakkan satelit ke orbit dengan jayanya," kata Yoon.
Menurut KASA, masa pelancaran diputuskan berdasarkan keadaan cuaca dan persekitaran angkasa, termasuk kemungkinan perlanggaran dengan objek di angkasa.
Pihak berkuasa akan mula menyuntik bahan api dan pengoksida pada 10.10 malam dan proses itu dijangka selesai pada 11.55 malam.
Pelancaran dijangka berjalan tanpa gangguan utama berkaitan cuaca, menurut Pentadbiran Meteorologi Korea.
Pelancaran ini merupakan kali keempat roket angkasa buatan dalam negara dilancarkan, dengan Hanwha Aerospace Co. buat pertama kalinya mengendalikan keseluruhan proses pemasangan sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang kerajaan untuk memindahkan teknologi angkasa kepada sektor swasta.
Korea Selatan pertama kali melancarkan roket Nuri pada Oktober 2021, namun ia gagal memasuki orbit ketika membawa satelit simulasi seberat 1.5 tan.
Pada Jun 2022, percubaan kedua berjaya menghantar Satelit Pengesahan Prestasi (PVSAT) dan satelit simulasi seberat 1.3 tan ke orbit.
Pelancaran ketiga dijalankan pada Mei 2023, dengan Korea Selatan berjaya menghantar satelit kecil generasi baharu dan tujuh satelit kiub ke orbit.
Melalui pelancaran terkini ini, Nuri menyasarkan untuk mencapai altitud 600km, berbanding 550km yang dicapai dalam pelancaran ketiga.
Roket itu membawa satu satelit bersaiz sederhana generasi baharu, CAS500-3, bersama 12 satelit kiub yang dibangunkan oleh universiti dan syarikat tempatan.
CAS500-3, dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries Ltd. dan seberat 512kg, akan menjalankan penyelidikan sains angkasa termasuk pengukuran medan magnet angkasa dan plasma serta pemerhatian aurora.
Apabila roket mencapai altitud sasaran, satelit bersaiz sederhana itu akan dipisahkan terlebih dahulu, diikuti dua satelit kiub pada sela masa 20 saat.
Jumlah berat satelit dan peralatan pada roket adalah kira-kira 960kg, lebih berat daripada 500kg yang dibawa pada pelancaran ketiga.
"Kejayaan pelancaran keempat Nuri bergantung kepada sama ada ia berjaya meletakkan satelit bersaiz sederhana generasi baharu, bersama 12 satelit kecil lain, pada altitud sasaran," kata Yoon.
Selepas melepaskan semua satelit, Nuri akan mengendalikan gerakan elak perlanggaran dan membuang baki bahan api untuk melengkapkan penerbangan selama 21 minit 24 saat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


