DUNIA
Roket Taiwan terhempas dalam pelancaran pertamanya di Jepun

Roket setinggi 12 meter yang dinamakan "VP01" itu dilancarkan oleh jtSPACE Co., cabang Jepun kepada sebuah syarikat aeroangkasa Taiwan. - Reuters
KUSHIRO: Sebuah roket dari Taiwan terhempas sejurus selepas dilancarkan dari sebuah tapak pelancaran angkasa persendirian di utara Jepun, menggagalkan usaha pelancaran pertama dari bumi Jepun bagi roket yang dibangunkan dengan sokongan modal asing, menurut Agensi Berita Kyodo.
Roket setinggi 12 meter yang dinamakan "VP01" itu dilancarkan oleh jtSPACE Co., cabang Jepun kepada sebuah syarikat aeroangkasa Taiwan, pada 11:40 pagi Sabtu, menurut pengendali Hokkaido Spaceport.
Walaupun peringkat pertama roket dipercayai terpisah dan jatuh ke Lautan Pasifik seperti yang dirancang, peringkat kedua kehilangan kestabilan sejurus selepas pemisahan dan terhempas di kawasan larangan berhampiran tapak pelancaran.
"Peringkat kedua ditamatkan selepas pemisahan kerana misi tidak lagi dapat diteruskan," kata pengendali pelabuhan, Space Cotan Co., dalam satu kenyataan media. Tiada kecederaan dilaporkan.VP01 hanya mencapai ketinggian empat kilometer, jauh lebih rendah daripada sasaran 100 km.
Space Cotan memaklumkan, sistem penamatan penerbangan digunakan bagi menggugurkan roket. Ketua Pegawai Eksekutifnya Yoshinori Odagiri berkata syarikat akan menunggu hasil siasatan bagi mengenal pasti punca masalah pada peringkat kedua pelancarannya.
Ujian bertujuan untuk menghantar VP01 yang berdiameter 0.6 meter dan seberat 1.4 tan ke ketinggian kira-kira 100 km, mengesahkan prestasi roket itu sekali gus menyokong pembangunan pelancar orbit yang mampu membawa satelit, kata Space Cotan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami