Rokok elektronik cetus gelombang baharu ketagihan nikotin - WHO

Rokok elektronik (e-rokok) kini mencetuskan gelombang baharu ketagihan nikotin, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). - Foto hiasan/BERNAMA
GENEVA: Walaupun penggunaan rokok semakin berkurangan di seluruh dunia, tembakau masih menjerat satu daripada lima orang dewasa secara global, menyebabkan jutaan kematian yang sepatutnya boleh dicegah setiap tahun dan rokok elektronik (e-rokok) kini mencetuskan gelombang baharu ketagihan nikotin, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor Xinhua.
Jumlah pengguna tembakau menurun daripada 1.38 bilion pada 2000 kepada 1.2 bilion pada 2024 dan sejak 2010 pengguna tembakau menurun sebanyak 120 juta, penyusutan sebanyak 27 peratus secara relatifnya menurut laporan WHO yang dikelaurkan pada Isnin.
"Jutaan orang berhenti atau tidak mula menggunakan tembakau, hasil usaha kawalan tembakau oleh negara-negara di seluruh dunia," kata Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.
"Sebagai tindak balas terhadap kemajuan ini, industri tembakau kini melawan balik dengan memperkenalkan produk nikotin baharu, dan menyasarkan golongan muda secara agresif. Kerajaan mesti bertindak lebih pantas dan tegas untuk melaksanakan dasar kawalan tembakau yang terbukti berkesan."Buat pertama kalinya, WHO menganggarkan penggunaan e-rokok secara global dan jumlahnya amat membimbangkan dengan lebih 100 juta orang di seluruh dunia kini menggunakan vap, termasuk sekurang-kurangnya 86 juta orang dewasa, kebanyakannya di negara berpendapatan tinggi dan sekurang-kurangnya 15 juta kanak-kanak berumur 13 hingga 15 tahun.
Di negara yang mempunyai data, kanak-kanak secara purata sembilan kali lebih cenderung menggunakan vap berbanding orang dewasa.
Industri tembakau memperkenalkan pelbagai produk dan teknologi baharu untuk terus memasarkan ketagihan tembakau bukan hanya melalui rokok tetapi juga dengan e-rokok, tampalan nikotin, produk tembakau yang dipanaskan dan lain-lain, menurut laporan itu.
Kesemua produk ini membahayakan kesihatan, terutamanya kesihatan generasi baharu, termasuk golongan remaja dan dewasa.
"E-rokok sedang mencetuskan gelombang baharu ketagihan nikotin," kata Etienne Krug Pengarah Jabatan Penentu Kesihatan, Promosi dan Pencegahan WHO.
"Ia dipasarkan sebagai produk pengurangan mudarat, tetapi hakikatnya, ia menjadikan kanak-kanak ketagih nikotin lebih awal dan berisiko merosakkan kemajuan yang dicapai selama beberapa dekad."
Penemuan laporan baharu WHO bertajuk "Laporan global WHO mengenai trend penggunaan tembakau 2000 - 2024 dan unjuran 2025 - 2030" adalah berdasarkan 2,034 tinjauan nasional yang meliputi 97 peratus daripada populasi global.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami