STOCKHOLM: Seorang terbunuh manakala sembilan lagi pengunjung cedera termasuk kanak-kanak, dalam kemalangan 'roller coaster' di taman hiburan Grona Lund di ibu negara Sweden pada Ahad, kata jurucakap taman tema berkenaan.

Seorang saksi kejadian itu berkata, kemalangan itu berpunca daripada 'roller coaster' Jetline di taman itu yang tergelincir dari landasannya sehingga menyebabkan orang ramai terhumban ke tanah.

"Ini adalah tragik dan mengejutkan, lebih malang lagi, kami mengetahui bahawa seorang daripada mangsa meninggal dunia," kata jurucakap, Grona Lund Annika Troselius.

Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berkaitan tragedi berkenaan.

Menurut polis, terdapat kanak-kanak dan orang dewasa dalam kalangan mereka yang cedera tetapi enggan mengulas mengenai tahap kecederaan mereka.

Sementara itu, seorang wartawan, Jenny Lagerstedt, yang kebetulan melawat taman teman itu bersama keluarganya memberitahu SVT, dia berada berdekatan dengan tempat kejadian apabila terdengar bunyi kuat dan menyedari ia berpunca daripada gegaran struktur landasan semasa kemalangan itu.

Menurut laman sesawang taman hiburan itu, 'roller coaster' Jetline yag diperbuat daripada keluli itu boleh mencapai kelajuan sehingga 90 kilometer sejam (km/j) dengan ketinggian 30 meter serta sudah membawa lebih daripada satu juta pelawat setiap tahun.

Menteri Kebudayaan Sweden, Parisa Liljestrand dalam reaksinya berkata, berita mengenai kemalangan itu sukar untuk diterima.

"Fikiran saya bersama mereka yang terjejas serta keluarga dan orang tersayang mereka," kata Liljestrand dalam kenyataan kepada agensi berita TT.

Grona Lund pula dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, taman tema berusia 140 tahun itu akan ditutup buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak. - Agensi