DUNIA

Rumah peribadi Menteri Kewangan Indonesia pula diserbu penunjuk perasaan - Laporan

Astro Awani 31/08/2025 | 02:00 MYT
Rumah Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati di Jakarta didakwa menjadi sasaran penjarahan oleh individu tidak dikenali, awal pagi Ahad, menurut Laporan CNBC Indonesia.
KEDIAMAN peribadi Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati di Jakarta didakwa turut menjadi sasaran penjarahan oleh individu tidak dikenali, awal pagi Ahad.

Menurut Laporan CNBC Indonesia, kejadian itu mulai tular di media sosial.

Beberapa rakaman memaparkan sekumpulan individu membawa keluar barangan dari kediaman Sri Mulyani yang terletak di kawasan Bintaro sekitar jam 1.40 pagi waktu tempatan.

Setakat ini, kementerian berkenaan masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut, namun beberapa kenalan rapat Sri Mulyani mengakui mereka turut menerima maklumat sama.

Penjarahan ini berlaku selepas beberapa insiden serupa menimpa kediaman ahli politik lain, khususnya anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

Antara yang terlibat ialah rumah Ahmad Sahroni di Tanjung Priok, Jakarta Utara, yang dimasuki orang ramai, pada Sabtu.

Rakaman video yang tular memperlihatkan sekumpulan penduduk membawa keluar pelbagai barangan, termasuk patung figura Ironman, jam tangan mewah dan turut merosakkan kenderaan di kawasan tersebut.

Turut menjadi mangsa ialah rumah ahli politik Parti Amanat Nasional (PAN), Eko Hendro Purnomo atau lebih dikenali sebagai Eko Patrio, di kawasan Setiabudi, Jakarta Selatan.

Ketua Polis Jakarta Selatan, Komisioner Nicolas Ary Lilipaly, mengesahkan kejadian tersebut namun memaklumkan keadaan kini sudah kembali terkawal.

Sementara itu, rumah anggota DPR, Surya Utama atau lebih dikenali sebagai Uya Kuya, juga tidak terkecuali.

Uya sendiri mengesahkan kediamannya dijarah orang ramai dan menyatakan beliau reda dengan apa yang berlaku.

“Ya, saya reda sahaja,” katanya ketika dihubungi, sambil mendedahkan kucing peliharaannya turut menjadi mangsa.

“Tidak mengapa, saya ikhlas, cuma yang menyedihkan apabila haiwan peliharaan seperti kucing pun turut dijarah,” tambahnya.







#rumah diserbu #Menteri Kewangan Indonesia #Penunjuk perasaan #protes #Indonesia