Skip to main content

Malaysia

Seorang hilang, enam selamat bot karam di Kapit

JBPM
Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot dinaikinya karam di Sungai Gaat, Kapit berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Balang, petang semalam.

SIBU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot dinaikinya karam di Sungai Gaat, Kapit berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Balang, petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa dikenali sebagai Spielberg Dylan Sekunyir, 32, dan berdasarkan maklumat daripada rakan mangsa, kejadian berlaku pada 6.15 petang. 

“Bot itu dikatakan terlanggar batu di tengah sungai sebelum karam.

“Enam individu berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa dilihat hanyut kira-kira 50 meter dari lokasi bot karam sebelum hilang dan hingga kini belum ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jurucakap memaklumkan JBPM menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.28 pagi tadi sebelum pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 72 kilometer dari balai itu.

Beliau berkata pasukan operasi tiba pada 10.42 pagi dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dalam radius enam kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hanyut.

“Pencarian menggunakan kaedah pencarian permukaan air dan zig-zag selain pemeriksaan di tebing sungai dengan bantuan penduduk rumah panjang berhampiran.

“Bomba menggunakan perahu disediakan penduduk rumah panjang kerana bot aluminium milik JBPM tidak dapat melalui kawasan berkenaan berikutan paras air sungai terlalu cetek,” katanya.

Beliau berkata operasi SAR ditangguhkan pada 3.30 petang tadi berikutan cuaca hujan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement