MESKIPUN aplikasi TikTok dijangka diharamkan di Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat, rundingan pembelian oleh Microsoft Corp masih diteruskan.

Pada Jumaat, Presiden Donald Trump umum akan mengharamkan platform media sosial itu yang dituduh mengancam keselamatan negara kerana hubungannya dengan Beijing.

Namun, memetik laporan Bloomberg, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft Corp Satya Nadella telah menghubungi Trump pada Ahad untuk cuba menyelamatkan usaha syarikat itu untuk membeli pengoperasian TikTok di AS serta beberapa negara lain.

Rundingan untuk pembelian aplikasi itu daripada syarikat pemilik ByteDance akan bergerak pantas dalam tempoh masa beberapa minggu dan dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada 15 September, menurut Microsoft dalam satu kenyataan.

Pembelian itu akan menyaksikan Microsoft memiliki pengoperasian TikTok di AS, Kanada, Australia dan New Zealand.

“Microsoft mengambil serius kebimbangan Presiden,” kata syarikat itu. “Kami komited untuk meneruskan pembelian TikTok, namun tertakluk kepada semakan keselamatan yang menyeluruh serta menjamin manfaat ekonomi kepada Amerika Syarikat, termasuk Jabatan Perbendaharaan.”

Namun, kenyataan itu tidak menyebut sama ada Trump akan menarik balik perancangannya untuk mengharamkan aplikasi tersebut.

Dalam masa yang sama, Reuters melaporkan bahawa Trump telah bersetuju untuk memberi ByteDance tempoh masa 45 hari untuk merundingkan penjualan TikTok kepada Microsoft Corp.

Menurut beberapa sumber, rundingan antara ByteDance dan Microsoft akan dipantau oleh Jawatankuasa Pelaburan Asing di Amerika Syarikat (CFIUS) yang mempunyai kuasa untuk menghalang sebarang persetujuan.

Reuters turut mendapati bahawa Trump telah mengubah pendiriannya terhadap TikTok selepas menerima tekanan daripada penasihatnya serta Parti Republikan.

Ini kerana pengharaman TikTok boleh memberi impak negatif kepada penyokong muda Trump menjelang pilihan raya umum pada November.