KUALA LUMPUR: Mesyuarat kedua Suruhanjaya Perdamaian di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut [UNCLOS] antara Kemboja dan Thailand akan diadakan di The Hague, Belanda, dari 14-18 Okt.
Menurut Mahkamah Tetap Timbang Tara (PCA) dalam kenyataan, mesyuarat itu yang akan berlangsung secara tertutup, bakal meneruskan perbincangan membina semasa sesi pertama di Singapura pada 14-16 Sept.
“Berdasarkan perbincangan konstruktif yang diadakan semasa sesi pertama di Singapura, suruhanjaya dan pihak-pihak (terlibat) akan meneruskan penglibatan positif mereka berhubung isu-isu yang sedang dipertimbangkan, meneroka jalan untuk kemajuan selanjutnya dan mengenal pasti bidang persetujuan yang berkaitan dengan persempadanan sempadan maritim antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Prosiding perdamaian telah dimulakan oleh Kemboja pada 2 Jun.
Sementara itu, menurut Kementerian Luar Kemboja, pertemuan itu menandakan satu lagi langkah penting dalam proses damai yang dimulakan oleh negara tersebut bagi menyelesaikan perbezaan maritim kedua-dua pihak.
“Berdasarkan perbincangan konstruktif yang diadakan semasa mesyuarat pertama di Singapura, sesi itu akan memberikan peluang kepada pihak terlibat untuk meneroka jalan bagi kemajuan selanjutnya dan mengenal pasti bidang persetujuan berkaitan persempadanan sempadan maritim,” menurut kementerian itu dalam kenyataan.
Delegasi Kemboja akan diketuai pegawai pendamainya Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa Prak Sokhonn dan timbalan pegawai pendamai Menteri bertanggungjawab bagi Sekretariat Negeri Hal Ehwal Sempadan Lam Chea.
Mereka akan diiringi delegasi Kemboja dan pasukan undang-undang.
“Menerusi proses ini, hasrat Kemboja adalah untuk memuktamadkan perjanjian dengan Thailand dalam penetapan batas sempadan maritim serba guna tunggal antara kedua-dua negara, atau perjanjian untuk pembangunan bersama dan perkongsian sumber yang saksama sementara menunggu persetujuan muktamad mengenai sempadan maritim,” katanya.
Kementerian itu menyatakan bahawa jika kedua-dua pilihan ini tidak tercapai, Kemboja akan meminta suruhanjaya menyediakan cadangan yang boleh menjadi asas bagi rundingan masa depan, selaras dengan kewajipan kedua-dua negara di bawah UNCLOS.
Menurut Kementerian Luar Thailand, mesyuarat kedua itu menyediakan peluang penting untuk pihaknya membentangkan fakta teknikal yang berkaitan kepada suruhanjaya, dengan tujuan mencari penyelesaian yang adil bagi persempadanan semula maritim dengan Kemboja berdasarkan undang-undang antarabangsa.
“Sebagai negara yang menandatangani UNCLOS, Thailand bersedia untuk bekerjasama dan menyokong peranan Suruhanjaya Perdamaian,” menurut kementerian itu dalam kenyataan.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow, sebagai pegawai pendamai bersama Timbalan Perdana Menteri Pakorn Nilprapunt sebagai penasihat, akan mengetuai delegasi Thailand pada mesyuarat kedua.
Delegasi Thailand juga terdiri daripada Songchai Chaipatiyut, Ketua Pengarah Jabatan Perjanjian dan Hal Ehwal Undang-Undang sebagai timbalan pegawai pendamai, bersama-sama wakil Kementerian Luar dan pakar-pakar khusus agensi berkaitan.
-- BERNAMA