INTERNATIONAL
AS, Rusia bincang larangan serangan ke atas infrastruktur tenaga, keselamatan Laut Hitam

AS dan Rusia bersetuju menyediakan langkah bagi melaksanakan perjanjian Presiden Trump dan Presiden Putin. - Foto fail/AP
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Rusia dalam perbincangan terkini di Riyadh bersetuju merangka langkah bagi melaksanakan perjanjian antara Presiden Donald Trump dan Presiden Vladimir Putin untuk melarang serangan ke atas infrastruktur tenaga di Rusia dan Ukraine, menurut kenyataan White House.
"AS dan Rusia bersetuju menyediakan langkah bagi melaksanakan perjanjian Presiden Trump dan Presiden Putin untuk melarang serangan ke atas kemudahan tenaga di Rusia dan Ukraine," lapor Sputnik memetik kenyataan itu.
AS dan Ukraine turut bersetuju untuk bekerjasama dalam usaha itu, menurut White House dalam kenyataan berasingan mengenai hasil perbincangan kumpulan pakar AS dan Ukraine di Riyadh.
Perbincangan di Arab Saudi itu diteruskan pada Isnin dan membawa kepada perkembangan penting lain iaitu persetujuan untuk memastikan keselamatan maritim di Laut Hitam.Menurut Rumah Putih, kedua-dua pihak komited untuk menjamin keselamatan pelayaran, mengharamkan penggunaan kekerasan serta mencegah penggunaan kapal dagang bagi tujuan ketenteraan di rantau Laut Hitam.
"AS dan Rusia bersetuju untuk memastikan keselamatan pelayaran, menghapuskan penggunaan kekerasan, dan mencegah penggunaan kapal dagang bagi tujuan ketenteraan di Laut Hitam," menurut kenyataan itu.
Selain itu, kedua-dua negara mencapai kata sepakat mengenai langkah menyokong penyertaan semula Rusia dalam pasaran pertanian dan baja global.
AS bersetuju membantu memulihkan akses Rusia ke pasaran antarabangsa, termasuk mengurangkan kos insurans maritim serta menambah baik akses pelabuhan dan sistem pembayaran bagi transaksi berkaitan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami