DUNIA
Rusia cadang dokumen kerjasama baharu ASEAN-Rusia bagi tempoh 2026-2030

Sergey Lavrov mencadangkan agar dokumen program kerjasama itu merangkumi bidang-bidang utama kerjasama baharu, khususnya dalam sektor berasaskan sains dan teknologi tinggi. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Rusia menyifatkan ASEAN sebagai rakan setaraf dan boleh dipercayai dalam kerjasama serantau, sambil menegaskan komitmen memperkukuh hubungan strategik menerusi pelaksanaan dokumen baharu ASEAN-Rusia bagi tempoh 2026-2030.
Ringkasan AI
- Rusia menyifatkan ASEAN sebagai rakan setaraf dan boleh dipercayai, serta mencadangkan dokumen program kerjasama baharu ASEAN-Rusia 20262030 yang merangkumi bidang sains dan teknologi tinggi, ekonomi, tenaga, pertanian dan hubungan kemanusiaan.
- Menteri Luar Sergey Lavrov menekankan kepentingan memperluas agenda sektoral dan melancarkan mekanisme kerjasama baharu, sambil menyambut ulang tahun ke-35 hubungan ASEAN-Rusia sebagai bukti kemajuan dua hala.
- Rusia menyokong peranan pemusatan ASEAN dalam format serantau dan menyeru agar dialog berasaskan kebersamaan terus diperkukuh demi keamanan dan kemakmuran Asia Pasifik.
“Kami berharap mesyuarat hari ini akan membantu membuka lebih banyak potensi dialog ini, memperluaskan agenda sektoral serta melancarkan mekanisme kerjasama baharu, khususnya dalam sektor berasaskan sains dan teknologi tinggi.
“Bagi mencapai matlamat ini, dokumen program ASEAN-Rusia bagi tempoh 2026-2030 perlu digubal dan diterima pakai. Kami mencadangkan agar bidang kerjasama utama dan objektif khusus dimasukkan secara jelas dalam dokumen tersebut,” katanya.
Lavrov berkata demikian dalam Mesyuarat Pasca-Menteri Luar ASEAN-Rusia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Ujarnya, ulang tahun ke-35 hubungan ASEAN-Rusia yang bakal disambut tahun depan merupakan bukti kepada kemajuan hubungan dua hala yang kini menyumbang secara langsung kepada kestabilan serantau.
Tambah Lavrov, menerusi Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia yang pertama diadakan di Kuala Lumpur 20 tahun lalu, ia bukan sahaja meningkatkan taraf dialog dua hala malah turut memperkenalkan pendekatan menyeluruh seperti termaktub dalam Deklarasi Pemimpin ASEAN-Rusia yang ditandatangani pada 13 Disember 2005.
“Seperti yang telah saya nyatakan, hubungan ini kini telah mencapai tahap yang benar-benar baharu.
“Perkongsian ini menyumbang secara langsung kepada kestabilan di rantau Asia Pasifik dan memperkukuh kerjasama dalam dasar keselamatan serta usaha menangani ancaman dan cabaran baharu,” tambahnya lagi.
Deklarasi Pemimpin ASEAN-Rusia merupakan hasil dari Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia pertama, yang bertujuan mempererat hubungan dialog antara kedua-dua pihak dalam pelbagai bidang seperti politik, keamanan, ekonomi, sosial, dan budaya.
Deklarasi tersebut juga menekankan kepentingan komuniti perniagaan dalam meningkatkan hubungan ekonomi antara ASEAN dan Rusia serta mengakui pendekatan bersama dalam menangani isu-isu serantau dan antarabangsa.
Rusia pada masa sama, turut menyokong peranan pemusatan ASEAN dalam pelbagai format serantau, sambil menzahirkan hasrat agar dialog dan kerjasama berasaskan kebersamaan akan terus diperkukuh demi keamanan dan kemakmuran bersama.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami