RUSIA mendakwa Ukraine cuba menyerang Kremlin dengan menggunakan drone pada waktu malam dalam usaha membunuh Presiden Vladimir Putin.

Perkembangan terbaharu itu merupakan dakwaan paling serius dan dramatik yang pernah dibuat oleh Moscow terhadap Kyiv sejak perang dengan jirannya bermula dalam tempoh masa 14 bulan.

Dakwaan tersebut dibuat pada hari Rabu oleh kerajaan Rusia serta dilaporkan oleh beberapa agensi berita negara.

Menurut laporan media antarabangsa, serangan yang dilakukan pada waktu malam itu gagal mencapai matlamatnya.

Rusia turut mendakwa tindakan tersebut sebagai cubaan pembunuhan terhadap Presiden Putin dan dalam masa sama menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengutuk serangan berkenaan.

Presiden Putin, bagaimanapun, dilaporkan tidak berada dalam bangunan berkenaan pada masa itu selain tiada kerosakan berlaku pada Kremlin, seorang pegawai kanan Rusia dipetik, sambil memberi amaran hak mereka untuk mengambil tindakan balas.

Sekiranya dakwaan ini benar, ia boleh menyebabkan hubungan antara Rusia dan Ukraine semakin tegang.
Kedua-dua negara telah lama berselisih mengenai wilayah Crimea dan konflik di Timur Ukraine.

Ketika ini, belum ada maklumat tambahan mengenai insiden tersebut dan tuntutan ini masih memerlukan penyiasatan lanjut untuk mengesahkan dakwaan.

Dalam reaksi segeranya, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menafikan sebarang kaitan negara itu dalam insiden tersebut.

Menurut laporan Reuters, Zelenskiy dalam sidang media di Helsinki menegaskan: "Kami tidak menyerang Putin, atau Moscow, kami berjuang di wilayah kami."

Seorang pegawai kanan Presiden Ukraine pula berpendapat, insiden ini sebaliknya menunjukkan Moscow sedang bersiap sedia untuk melakukan "provokasi yang besar."