Rusia satu-satunya negara miliki kepakaran merangkumi seluruh rantaian tenaga nuklear

Putin berkata, industri nuklear Rusia bebas sepenuhnya daripada sebarang faktor luaran dan kekal berdikari walaupun Barat enggan membekalkan bahan api serta peralatan tenaga. - Gambar fail REUTERS
MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, negaranya merupakan satu-satunya negara di dunia yang memiliki kepakaran menyeluruh dalam keseluruhan rantaian tenaga nuklear.
"Rusia ialah satu-satunya negara di dunia yang memiliki kompetensi dalam keseluruhan rantaian tenaga nuklear," katanya ketika berucap pada Forum Minggu Tenaga Rusia di Moscow pada Khamis.
Putin berkata, industri nuklear Rusia bebas sepenuhnya daripada sebarang faktor luaran dan kekal berdikari walaupun Barat enggan membekalkan bahan api serta peralatan tenaga.
"Rakan-rakan baharu sedang muncul di seluruh dunia yang kini membeli peralatan ini daripada syarikat Rusia. Semalam mereka membelinya dari Eropah, hari ini mereka membeli semakin banyak daripada kami, dan proses ini akan terus berkembang," katanya.Beliau menegaskan, Rusia menawarkan kerjasama teknologi menyeluruh dalam bidang tenaga yang tidak bergantung kepada sekatan atau tekanan luar, berasaskan perkongsian sebenar, pertukaran pengetahuan serta pembentukan pakatan industri.
Putin berkata, logistik tenaga dunia kini beralih ke Selatan Global, merangkumi negara-negara dinamik di rantau Asia Pasifik, Afrika dan Amerika Latin dengan laluan lebih selamat, hab baharu serta pelabuhan yang memenuhi keperluan semasa dan masa depan pembeli.
"Ekonomi global terus berkembang dari tahun ke tahun walaupun berdepan cabaran, dan keperluan tenaga juga meningkat," katanya sambil menambah bahawa imbangan tenaga Rusia adalah antara yang paling mesra alam di dunia, dengan 87 peratus elektrik dijana menggunakan gas, tenaga nuklear, tenaga boleh diperbaharui dan hidroelektrik yang mempunyai jejak karbon minimum atau sifar.
Putin turut mendedahkan, permintaan minyak global dijangka mencecah 104.5 juta tong sehari tahun ini, meningkat lebih sejuta tong sehari berbanding tahun lalu.
Beliau menuduh negara Barat sengaja mengganggu sistem tenaga global sehingga menyebabkan kerosakan tiruan.
"Kami kini berdepan keruntuhan tiruan dalam seni bina tenaga global yang berpunca daripada tindakan agresif dan tegas oleh sesetengah elit Barat," katanya.
Naib Perdana Menteri Rusia, Alexander Novak pula berkata, Rusia kini membekalkan kira-kira 17 peratus daripada pasaran tenaga global, termasuk minyak mentah, produk petroleum, gas asli saluran paip dan arang batu. Sektor tenaga menyumbang antara 16 hingga 20 peratus kepada KDNK Rusia dan menjana pelaburan tahunan sekitar 10 trilion ruble (US$124.3 bilion).
Beliau berkata, bagi memastikan keselamatan tenaga domestik dan mengekalkan daya saing di pasaran global, Rusia perlu mengekalkan asas sumbernya termasuk memastikan bekalan minyak mencukupi sekurang-kurangnya 50 tahun, gas selama 70 tahun dan arang batu untuk sekurang-kurangnya 100 tahun.
Putin menambah bahawa pasaran arang batu akan kekal relevan untuk beberapa dekad akan datang, khususnya dengan peningkatan penggunaan di negara Asia walaupun permintaan menurun di Barat.
Beliau turut menekankan bahawa dunia akan terus menggunakan kenderaan berenjin pembakaran dalaman untuk tempoh yang panjang, walaupun rancangan untuk menghentikannya telah ditangguhkan.
"Orang ramai masih menggunakan kereta berenjin petrol, dan mereka akan terus melakukannya untuk tempoh yang lama," katanya.
Forum Minggu Tenaga Rusia 2025 sedang berlangsung di Moscow dari 15 hingga 17 Okt.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami