DUNIA
Rusuhan Indonesia: Siapa dalang?

Rusuhan di Indonesia mengajar satu perkara: tanpa komunikasi jelas dan pengurusan maklumat yang bijak, demokrasi mudah ditunggang oleh mereka yang pandai bermain di balik layar. - Gambar Reuters
JAKARTA: Apa beza demonstrasi dengan rusuhan? Satu suara ‘rakyat’, satu lagi adegan ‘chaos.'
Indonesia seminggu dua ini nampaknya mengalami kedua-duanya sekali gus - bermula dengan demonstrasi (demo) “perut lapar” berakhir dengan adegan bakar-membakar dan penjarahan.
Lalu, pertanyaan serius pun timbul: Ini benar-benar suara rakyat atau ada yang sedang main wayang di belakang layar?
Serangan terancang, bukan spontan?Kepada Direktur Eksekutif Indonesia Political Review (IPR) Iwan Setiawan, beliau tidak teragak-agak menyebut: Apa yang berlaku terlalu kemas untuk sekadar “spontan.”
“Demo damai tak bawa tangga dan bom molotov. Ini jelas dipersiapkan,” katanya.
Lebih jelas lagi, beliau kaitkan dengan dasar nasionalisasi aset Presiden Prabowo Subianto.
Bila kepentingan besar disentuh — dari mafia minyak sampai jaringan judi online — jangan pelik kalau tiba-tiba ada “sponsor” untuk bikin huru-hara.
Contoh paling ketara, tegasnya, penjarahan rumah seorang elit politik yang sempat ditayangkan secara langsung di TikTok, lengkap dengan hujan “gift” daripada akaun judi.
"Jadi, rusuhan atau reality show bersponsor?" soal beliau.

Iwan Setiawan
Dari protes perut lapar ke demo anarki
Sementara, pengasas Lembaga KedaiKopi, Dr Hendri Satrio pula melihat akar masalah kekecohan tetap berhubung ekonomi rakyat.
“Awalnya isu perut lapar. Tapi bila muncul penjarahan dan anarki, siapa yang arahkan? Itu masih misteri,” katanya penuh tanda tanya.
"Maksudnya, ya - rakyat marah memang betul. Tapi loncatan dari “demo perut” ke “anarki molotov” terlalu jauh kalau tanpa tangan pengarah."

Dr Hendri Satrio
Media sosial nyalakan api amarah rakyat?
Di tengah semua ini, media sosial jadi bahan bakar. Kandungan provokatif tersebar lebih cepat berbanding penjelasan.
“Konten (kandungan) provokatif harusnya langsung disekat. Jangan biarkan buzzer dan akaun judi jadi pengatur kemarahan rakyat,” tegas Iwan.
Dalam menangani kekecohan dan kegusaran rakyat ketika ini, Dr Hendi menawarkan tiga langkah penting yang perlu dilakukan pemerintah.
Tiga langkah yang digariskan beliau ialah:
1. Mendidik pemilik akaun media sosial untuk mengguna platform secara bertangungjawab
2. Menyemak fakta dengan media kredibel khususnya media arus perdana
3. Meredam emosi masyarakat dengan melibatkan tokoh masyarakat selain mengembalikan semula peranan media massa sebagai sumber informasi utama.
Soal dalang rusuh tetap misteri?
Akhir cerita, persoalan “siapa dalang?” masih belum ada jawapan rasmi. Polis dan tentera masih menyiasat.
Yang jelas, rusuhan ini mengajar satu perkara: tanpa komunikasi jelas dan pengurusan maklumat yang bijak, demokrasi mudah ditunggang oleh mereka yang pandai bermain di balik layar.
Dan buat rakyat kecil? Soal dalang mungkin tak sepenting soal esok nak makan apa...
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami