Editor Sun TV Network yang berpangkalan di Chennai, R.Umashankar, memohon maaf di atas kesilapan laporan berhubung rusuhan di Little India, Singapura pada Ahad malam.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, pada 10 Dis 2013, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke India, Lim Thuan Kuan telah menghantar surat kepada Sun TV berkaitan kesilapan laporan berhubung rusuhan pada 8 Dis lepas di Little India.

Surat Lim disampaikan kepada editor Sun TV oleh Konsul Jeneral Singapura di Chennar, Roy Kho.

Umashankar, dalam maklum balas kepada Kho menerusi e-mel, menyatakan beliau bertanggungjawab bagi kesilapan laporan berita itu dan memohon maaf atas apa yang berlaku.

Dalam laporan berita Sun TV yang dilaporkan pada Isnin lalu, ianya menyebut bahawa kejadian tersebut terjadi apabila mangsa telah ditolak keluar dari bas oleh pemandu bas tersebut.

Mangsa kemudiannya telah dipukul oleh warga tempatan yang berada disekitar kawasan tersebut dan rentetan dari kejadian itu, warga India terpaksa berlindung diri di kediaman mereka disekitar kawasan tersebut kerana ditakuti diganggu atau diserang oleh polis dan warga tempatan.

Pada Ahad lalu, seorang lelaki warganegara India yang berumur 33 tahun, dilanggar oleh sebuah bas milik sebuah syarikat swasta.

Polis berkata lebih kurang 400 orang yang berada di tempat kejadian mula merusuh dan menyerang bas tersebut dan turut menyerang kenderaan polis yang tiba untuk mengawal keadaan.

Sepuluh orang polis, empat pegawai pertahanan serta pemandu bas dan konduktor berkenaan adalah antara mereka yang tercedera.

Seramai 28 pekerja warga asing dari Asia Selatan telah ditahan ekoran peristiwa itu dan boleh dipenjarakan selama tujuh tahun dan dirotan sekiranya didapati bersalah.

Sehingga semalam, 27 suspek telah pun dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa atas tuduhan merusuh.

Dalam perkembangan yang sama juga, lesen jualan minuman keras di kawasan Little India pada hujung minggu ini telah digantung.

Dalam pekeliling penggantungan itu yang diserahkan kepada semua premis yang memegang lesen berkenaan, Jabatan Perlesenan dan Kawalan Polis memberitahu keputusan itu dibuat selepas rundingan dengan Lembaga Perlesenan Minuman Keras.