[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
INTERNATIONAL

Rusuhan tercetus di daerah tengah Athens, 70 ditahan

Bernama 13/04/2025 | 14:05 MYT
Pada Jumaat, individu tidak dikenali telah melancarkan serangan bom ke atas ibu pejabat Hellenic Train, penyedia utama pengangkutan rel penumpang dan kargo di Greece. - Foto AP
ATHENS: Rusuhan tercetus semalaman di daerah Exarchia, Athens apabila individu tidak dikenali bertindak membaling bom petrol, bunga api dan batu ke arah balai polis di kawasan itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Beberapa kereta dan motosikal yang diparkir telah terbakar. Pasukan polis rusuhan yang tiba di lokasi telah menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan perusuh.
Lebih 70 tangkapan dilakukan, menurut penyiar Greece EPTNews pada Ahad, yang memetik sumber keselamatan.
Seorang individu dilaporkan cedera ringan, menurut perkhidmatan kecemasan.
Rusuhan itu dipercayai bermula selepas satu acara muzik di sebuah taman di daerah berkenaan, menurut saksi. Sekitar tengah malam, kira-kira 50 orang meninggalkan acara tersebut dan mula menyerang balai polis berdekatan. Kekecohan kemudian merebak ke jalan-jalan berhampiran.
Wartawan di lokasi memaklumkan bahawa keadaan telah kembali tenang menjelang pagi Ahad. Polis mengesyaki rusuhan itu mungkin berkaitan dengan protes terhadap kemalangan kereta api yang berlaku kira-kira dua tahun lalu dan meragut 57 nyawa.
Pada Jumaat, individu tidak dikenali telah melancarkan serangan bom ke atas ibu pejabat Hellenic Train, penyedia utama pengangkutan rel penumpang dan kargo di Greece.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam serangan itu dan siasatan masih dijalankan.
Ramai waris mangsa, serta parti-parti politik, menuduh syarikat kereta api dan kerajaan konservatif cuai dalam pengurusan sistem rel negara itu.
-- BERNAMA
#rusuhan #Athens #protes #Exarchia