Sah sama sekali bagi Malaysia bangunkan selanjutnya Batuan Tengah - Dr Ng

Bernama
Jun 3, 2018 20:50 MYT
Pos Maritim Malaysia Batuan Tengah secara rasmi dinamakan sebagai 'Abu Bakar Maritime Base' oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, 1 Ogos, 2017. --fotoBERNAMA
"Ia memang sah sama sekali mengikut undang-undang," kata Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen mengenai rancangan Malaysia untuk membangunkan selanjutnya Batuan Tengah, yang Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) putuskan sebagai milik Malaysia.
"Selagi ia mematuhi undang-undang antarabangsa, kedua-dua pihak atau semua negara berhak ke atas apa yang mereka bangunkan, untuk mengambil apa yang diperlukan untuk keperluan mereka sendiri," beliau dipetik sebagai berkata oleh The Straits Times pada akhir Dialog Shangri-La (SLD) ke-17 di sini pada Ahad.
"Dan saya fikir ia adalah sah. Dan bagi mereka, mereka merasakan bahawa mereka perlu membangunkannya.
"Saya fikir ia adalah baik mereka menyatakannya secara terbuka, jadi kita semua memahami kedudukan masing-masing.
"Seperti juga Singapura mahu membangunkan pelbagai aspek seperti yang kami lakukan, dari segi kedudukan pulau, bagi kepentingan domestik atau orang awam atau keselamatan."
Menurut laporan berita, Dr Ng juga mengimbas semula pertemuan pertamanya dengan rakan sejawatannya yang baharu dari Malaysia Mohamad Sabu, sambil menyatakan bahawa perbincangan antara kedua-dua mereka juga menyentuh mengenai briyani ikan terbaik di Singapura.
"Itu mencerminkan hubungan mesra antara rakyat Singapura dan Malaysia pada umumnya," kata beliau.
Dr Ng berkata beliau yakin bahawa Malaysia memahami betapa pentingnya Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) untuk keselamatan Malaysia dan Singapura.
BACA: Singapura dan Malaysia bersetuju terus perkukuh hubungan pertahanan
BACA: Mohamad Sabu terima sambutan 'luar jangka' di Singapura
Dan Malaysia, yang kini diterajui oleh kerajaan baharu, mahu mengekalkannya jika tidakpun mempertingkatkan hubungan pertahanan.
Laporan itu berkata beliau telah menjemput Mohamad untuk melawat unit-unit Angkatan Tentera Singapura di sini, dan juga telah diundang untuk melawat Malaysia.
"Jadi, ini adalah permulaan yang sangat baik, amat mesra, dan saya fikir kita dapat bergerak sehaluan," kata Dr Ng.
Mohamad menghadiri Dialog Shangri-La selama tiga hari yang bermula pada 1 Jun.
-- BERNAMA
#Batuan Tengah #Dialog Shangri-La #FPDA #ICJ #kerajaan baharu #Mahkamah Keadilan Antarabangsa #Malaysia #Mohamad Sabu #Ng Eng Hen #Peraturan Pertahanan Lima Negara #pertahanan #Pulau Batu Putih #Singapura #tentera #undang-undang