HARWICH: Sekumpulan kira-kira 80 saintis dan kru dari pelbagai negara akan belayar ke Greenland minggu ini menaiki kapal penyelidikan kutub RSS David Attenborough bagi mengkaji kesan pencairan glasier yang semakin pesat di pulau itu terhadap sistem arus utama Lautan Atlantik dan iklim Eropah.
Misi penyelidikan yang dijangka berlangsung antara lima hingga enam minggu itu berlepas dari Britain ketika negara berkenaan dan beberapa kawasan di Eropah Barat baru sahaja mengalami bulan Jun paling panas pernah direkodkan, yang mengakibatkan gangguan bekalan elektrik, penutupan sekolah serta peningkatan kematian berkaitan cuaca panas.
Ahli geofizik marin daripada British Antarctic Survey (BAS), Kelly Hogan, berkata gelombang haba yang melanda Eropah sejak beberapa bulan kebelakangan ini menunjukkan betapa sukarnya masyarakat menyesuaikan diri walaupun dengan perubahan iklim yang kecil.
“Gelombang haba di United Kingdom dan Eropah dalam beberapa bulan kebelakangan ini benar-benar menunjukkan bahawa kita sukar menyesuaikan diri walaupun dengan perubahan iklim yang tidak begitu besar,” katanya.
Ekspedisi itu merupakan sebahagian daripada projek bernilai £20 juta (kira-kira RM109 juta) yang dikenali sebagai GIANT (Greenland Ice Sheet to AtlaNtic Tipping Points).
Projek berkenaan bertujuan memahami dengan lebih mendalam bagaimana glasier di Greenland mencair dan pecah ke dalam laut serta kesannya terhadap sistem iklim global.
Saintis bimbang jumlah air tawar yang semakin banyak daripada pencairan ais Greenland boleh mengganggu sistem arus lautan di Atlantik yang memainkan peranan penting dalam mengawal suhu dan corak cuaca di Eropah.
Gangguan terhadap sistem arus itu berpotensi menyebabkan cuaca lebih ekstrem, perubahan pola hujan serta peningkatan paras laut di beberapa kawasan.
Kapten kapal RSS David Attenborough, Matt Neill, berkata beliau sendiri telah menyaksikan perubahan ketara pada glasier sejak memulakan pelayaran ke rantau kutub lebih sedekad lalu.
“Banyak glasier semakin mengecil dan berundur dengan sangat cepat, jauh lebih ketara daripada yang dijangkakan.
“Justeru, pengumpulan data dan penambahbaikan model iklim menjadi semakin penting dalam tempoh perubahan yang begitu dinamik ketika ini,” katanya.
Selain kapal penyelidikan utama, misi itu turut menggunakan sebuah kenderaan dasar laut tanpa pemandu berteknologi tinggi yang dikenali sebagai 'Boaty McBoatface'.
Nama tersebut menjadi terkenal selepas mencatat undian tertinggi dalam satu tinjauan awam untuk menamakan kapal berkenaan pada 2016, namun akhirnya digunakan untuk menamakan kenderaan penyelidikan bawah air itu.
Kenderaan berkenaan akan menyelam sehingga 1,500 meter di bawah permukaan laut berhampiran kawasan pertemuan glasier dan lautan bagi memetakan struktur dasar laut serta mengkaji pengaruhnya terhadap pencairan ais.
Jurutera operasi di National Oceanography Centre, Sam Smith, berkata misi itu dijangka mengumpulkan sejumlah besar data baharu yang belum pernah diperoleh sebelum ini.
Menurut beliau, maklumat yang dikumpul akan digunakan untuk membangunkan model iklim generasi baharu serta sistem amaran awal yang mampu mengesan risiko keruntuhan glasier pada masa hadapan.
Penyelidik berharap hasil ekspedisi itu dapat meningkatkan pemahaman mengenai kesan perubahan iklim terhadap Greenland, sekali gus membantu komuniti antarabangsa merancang langkah penyesuaian dan mitigasi yang lebih berkesan.