NEW DELHI:SEKUMPULAN saintis di India mengembangkan lagi ujian pengesanan virus COVID-19 menggunakan kaedah yang hampir sama dengan ujian kehamilan.

Kaedah itu dilihat bukan sahaja lebih jimat berbanding ujian lain, malah lebih cepat selain menjadikan ia satu-satunya ujian COVID-19 menggunakan kertas yang pertama seumpamanya di dunia.

Ujian Detektif Diksyen India adalah berdasarkan teknologi penyuntingan gen atau dipanggil Crispr.

Para saintis menjangkakan kit ujian yang diberi nama Feluda itu mampu memberi keputusan dalam tempoh kurang satu jam dengan kos hanya 500 rupee (RM28).

Penasihat Ilmiah Utama Pemerintahan India, Prof. K. Vijay Raghavan berkata, kit ujian itu bersifat sederhana, tepat, boleh dipercayai dan berskala serta berhemat, lapor BBC.

Pusat penyelidikan itu berpusat di Institut Genomik dan Biologi Integratif (IGIB) di Delhi.

"Feluda ini dikembangkan di IGIB selain mendapat sentuhan di makmal swasta bagi cubaan ujian pada kira-kira 2,000 sampel dari pesakit yang telah disahkan positif COVID-19.

"Hasil ujian itu, mereka mendapati alat itu berupaya mengesan jangkitan dengan kadar kepekaan sehingga 96 peratus dan 98 peratus lebih spesifik.

"Ujian ketepatannya dihitung berdasarkan dua perkadaran berkenaan.

"Ujian ini sangat berkesan kerana mampu mengenal pasti hampir semua orang yang menghidap jangkitan COVID-19," katanya lagi.