Saintis Jepun bangunkan kapal layar jana tenaga bersih daripada taufan

Selama beberapa dekad, saintis di seluruh dunia telah berusaha 'menjinakkan' taufan dan memanfaatkan angin kencang bagi tujuan tenaga. - Gambar hiasan/AP
PHNOM PENH: Saintis Jepun sedang membangunkan kapal penjana tenaga berkuasa taufan termaju yang mampu menjana elektrik daripada ribut kuat - satu penemuan yang berpotensi menandakan pencapaian baharu dalam tenaga boleh diperbaharui luar pesisir.
Penyelidik di Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Taufan (TRC) di Yokohama National University sedang menguji sebuah kapal layar tanpa kru yang direka khusus untuk memanfaatkan tenaga daripada taufan kuat.
Taufan yang kerap melanda negara seperti Jepun, Filipina dan Vietnam - mengganggu kehidupan dan ekonomi - suatu hari nanti berpotensi menjadi sumber tenaga bersih yang berkuasa jika saintis berjaya mengatasi cabaran teknologi dalam mengendalikan kapal-kapal ini.
"Di TRC, kami sedang membangunkan kapal layar tanpa kru yang menggunakan angin taufan untuk pendorongan sambil pada masa sama menjana elektrik melalui turbin skru bawah air.
"Penyelidikan kami setakat ini telah menunjukkan bahawa konsep tersebut berfungsi pada tahap ujian makmal dan beberapa langkah lagi diperlukan sebelum ia boleh mencapai tahap praktikal atau komersial," kata Profesor Madya TRC, Taiga Mitsuyuki kepada Bernama dari Yokohama.
Selama beberapa dekad, saintis di seluruh dunia telah berusaha 'menjinakkan' taufan dan memanfaatkan angin kencang bagi tujuan tenaga, yang boleh membuka dimensi baharu penghasilan tenaga boleh diperbaharui daripada sumber alam.
Saintis Jepun telah menerajui usaha menjana tenaga daripada taufan kuat selama beberapa dekad. Beberapa syarikat Jepun turut menyertai inisiatif itu, memainkan peranan penting dalam memajukan teknologi kompleks tersebut.
Model kapal TyphoonShot menjana tenaga menggunakan layar yang memerangkap angin lintang di kawasan yang boleh dilayari di bawah taufan dan mengikuti pergerakan ribut.
Elektrik dijana dan disimpan di dalam kapal layar melalui putaran kipas turbin skru di bawah laut.
Elektrik yang disimpan itu kemudian dihantar ke darat melalui kapal.
"Kami sedang melaksanakan inisiatif menyeluruh di TRC yang dinamakan Projek TyphoonShot, yang mempunyai dua objektif utama - kawalan taufan dan penjanaan tenaga taufan.
"Jurutera dan ahli meteorologi kini bekerjasama meneroka kaedah menghasilkan tenaga daripada taufan dan konsep asasnya telah dibuktikan di peringkat makmal.
"Namun, untuk mencapai pelaksanaan praktikal, kerjasama lebih luas diperlukan, bukan sahaja di Jepun tetapi di seluruh Asia Timur dan Asia Tenggara, yang setiap tahun terkesan akibat taufan," kata Taiga.
Terletak di Lautan Pasifik, Jepun terdedah kepada bencana alam dan mengalami sekitar 26 taufan setiap tahun.
Di Asia Tenggara, negara seperti Filipina dan Vietnam turut kerap dilanda ribut tropika.
Tahun ini sahaja, sekurang-kurangnya 22 taufan melanda Filipina dengan membawa angin kencang dan hujan lebat, menyebabkan kemusnahan besar kepada nyawa, harta benda dan infrastruktur.
Pencapaian teknologi TRC itu membuka peluang meningkatkan keselamatan tenaga pada ketika dunia mencari sumber tenaga lebih bersih - malah berpotensi mengubah persepsi negatif terhadap taufan selama ini.
Menurut kajian TRC, penggunaan 100 kapal penjana tenaga taufan (TPG-ship) boleh menjana elektrik bersamaan kira-kira tiga peratus daripada jumlah penggunaan tenaga tahunan Jepun, kata Taiga.
"Sekilas pandang, tiga peratus kelihatan kecil, tetapi dalam konteks portfolio tenaga boleh diperbaharui Jepun pada masa ini, ia sebenarnya angka yang sangat bermakna dan realistik," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


