ISLAMABAD: Menteri Dalam Negeri Pakistan Mohsin Naqvi memaklumkan Duta Iran ke Pakistan, Reza Amiri Moghadam pada Isnin bahawa persiapan bagi fasa kedua rundingan di Islamabad telah selesai, lapor Xinhua memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri.
Menurut kenyataan itu, Mohsin telah bertemu dengan duta itu bagi membincangkan urusan pusingan kedua rundingan, sambil menyatakan bahawa kawalan keselamatan rapi telah dilaksanakan bagi menyambut delegasi asing yang berkunjung.
Advertisement
Beliau turut menekankan kepentingan menyelesaikan pertikaian menerusi dialog dan rundingan, selain menegaskan bahawa penyelesaian yang mampan adalah amat penting bagi kestabilan serta keamanan serantau jangka panjang.
Utusan Iran itu dalam masa yang sama menghargai "peranan positif dan membina" Pakistan dalam usaha mengurangkan ketegangan serta memudahkan dialog di rantau berkenaan, lapor kenyataan itu lagi.
Terdahulu pada hari yang sama, Mohsin melawat Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Islamabad bagi memberikan maklumat terkini kepada pihak AS mengenai persediaan keselamatan bagi pusingan kedua rundingan berkenaan.
-- BERNAMA-XINHUA